Bercuti di Pantai Morib Banting

Pantai Morib adalah lokasi pelancongan menarik di daerah Kuala Langat, Selangor. Ia sangat popular dan menjadi destinasi percutian warga kota lantaran jarak yang tidak jauh dari Kuala Lumpur. Berbagai kemudahan pelancongan juga disediakan termasuk hotel dan resort menarik. Kali ini Percutian Bajet telah mengumpulkan maklumat yang perlu anda tahu jika ingin bercuti di Pantai Morib.

Nota: Untuk melihat semua lokasi menarik untuk bercuti, sila lawati halaman Senarai tempat menarik untuk percutian di Selangor.

Pantai Morib Banting Selangor.

Apa ada di Pantai Morib?

Tarikan utama pelancong ke sini ialah kerana:

  • Kawasan pantai yang dibangunkan untuk pelancongan.
  • Meriah - Berbagai jenis gerai yang menjual bermacam-macam barangan.
  • Tempat makan menarik - Terdapat kedai makan, kedai kerepek dan restoran makanan laut.
  • Tempat penginapan menarik - Ada water park di Gold Coast Morib Resort.
  • Aktiviti menarik - Mandi laut, bermain layang-layang, sukan pantai. paragliding dan lain-lain.

Water park di Gold Coast Morib Resort.

Lokasi Pantai Morib

Lokasi Pantai Morib ialah di Banting, Selangor.

  1. Dari Kuala Lumpur, anda boleh melalui Jalan Persekutuan ataupun melalui North Klang Valley Expressway ke Klang, Banting dan terus ke Morib.
  2. Dari Negeri Sembilan, anda boleh melalui Sepang, Sungai Pelek, Tanjung Sepat, Kanchong Laut dan terus ke Morib.

Monumen sejarah di Morib.

Tempat menarik di Morib

Tarikan utama pelancong kesini ialah Pantai Morib dan juga water park di Gold Coast Morib Resort. Lain-lain yang menarik ialah gerai yang menjual makanan tempatan di tepi-tepi jalan seperti kerepek dan buah-buahan. Tidak dilupakan, Kampung Kanchong Darat tempat lahir keluarga jaguh badminton negara, anak-anak Dato' Haji Sidek. Berikut ialah maklumat yang lebih terperinci bagi pengunjung yang ingin bercuti di Pantai Morib Banting, Selangor:

Pantai Morib

Pantainya tidak secantik pantai-pantai di Pahang atau Terengganu. Malah kawasan berpasir juga terhad. Pengunjung boleh mandi-manda atau sekadar bersantai menikmati bayu laut. Jika air surut, pengunjung boleh berjalan hingga 300-400 meter ke tengah laut. Jika anda gemar mengumpul cengkerang siput laut untuk hiasan, anda pasti gembira ke sini. Jika air pasang, anda boleh bermain layang-layang, bubble gun atau bergambar disekitar kawasan lanskap yang menarik.

Dataran Pantai Morib

Dataran Pantai Morib adalah kawasan di tepi pantai dengan mercu tanda yang menarik. Disini juga terdapat berbagai jenis gerai yang menjual pelbagai barangan termasuk barangan cenderahati, layang-layang, topi, buble gun dan bermacam-macam lagi. Dihujung minggu suasana meriah disini berlanjutan hingga ke malam.

Mercu tanda di Dataran Morib.

Tempat kanak-kanak

Ada taman kanak-kanak yang mempunyai beberapa jenis permainan. Ibu-bapa boleh berehat sambil memerhatikan anak-anak bermain.

Laluan pejalan kaki

Terdapat laluan pejalan kaki dibina di tepi pantai ini hingga ke Pantai Kelanang. Pengunjung boleh berjalan melihat pemandangan laut yang menarik, jogging, beriadah dan berehat di pondok rehat yang disediakan jika penat.

Lanskap yang menarik

Terdapat kawasan lanskap yang menarik dibina disini. Ia membantu mencantikkan lagi kawasan ini. Bagi pengunjung yang suka bergambar, ada banyak tempat menarik ada disini.

Pantai Morib Banting.

Aktiviti menarik di Morib

Pantai Morib agak meriah pada hujung minggu dan juga musim cuti sekolah. Ramai yang membawa keluarga bercuti di pantai ini. Berbagai aktiviti menarik boleh dilakukan disini seperti:

  • Berkelah dan bersantai ditepi pantai.
  • Bermain layang-layang.
  • Berjalan-jalan ditepi pantai melihat pemandangan laut yang cantik.
  • Membeli-belah produk tempatan seperti kerepek yang sangat terkenal disini.
  • Menjamu selera.
  • Melihat matahari terbenam.
  • Mandi laut.
  • Mencari siput laut ketika air surut.
  • Memancing.
  • Aktiviti paragliding di Bukit Jugra, Banting.

Pemandangan menarik matahari terbenam di pantai Morib.

Makanan di Morib

Makanan yang terkenal di Pantai Morib tentu sekali makanan laut. Antara menu yang menjadi pilihan ialah ikan bakar, sotong goreng tepung dan lain-lain. Selain itu, anda boleh ke pekan Banting untuk mencuba beberapa tempat makan yang terkenal. Perjalanan dari Pantai Morib lebih kurang 20 minit. Tempat makan sedap yang boleh anda kunjungi ialah:

  • Medan selera Dataran Morib - Berbagai jenis makanan ada disini dan yang paling terkenal ialah sotong bakar.
  • Restoran Juvita Seafood - Terletak di Kanchong Darat, Banting. Menu istimewa ialah ikan bakar.
  • Cendol di Pekan Banting - Jika ke pekan Banting, pengunjung boleh mencuba cendol yang sedap di Cendol Banting Ibrahim yang berhadapan dengan KFC atau Cendol Banting Kamaruddin.
  • Nasi lemak sotong - Untuk sarapan pagi, pengunjung boleh ke gerai nasi lemak Pak Musa, Kak Leha atau Kak Eta di pekan Banting.

Kemudahan di Pantai Morib

Antara kemudahan asas yang disediakan di Pantai Morib ialah:

  • Tandas.
  • Surau.
  • Pentas serbaguna.
  • Gelanggang gasing.
  • Padang bola sepak pantai.
  • Gerai makan.
  • Pondok rehat.

Penginapan di Morib

Ada beberapa hotel menarik yang boleh dijadikan tempat penginapan di Pantai Morib. Jika anda selesa menginap di homestay, terdapat banyak homestay menarik disekitar Pantai Morib yang boleh anda pilih. Namun harganya lebih kurang hotel juga.

Hotel di pantai Morib

  • Gold Coast Morib - Resort menarik dengan water park dan berbagai aktiviti menarik.
  • Hotel Impian Morib - Terletak di tepi pantai Morib. Lokasinya disebelah padang golf.
  • Hotel Sri Morib.

Homestay pantai Morib

  • Homestay Kanchong Darat.
  • Homestay Kampung Endah.

Nota: Untuk melihat semua tarikan pelancongan yang ada di negeri ini, sila lawati halaman Tempat menarik di Selangor mengikut daerah.

Morib bukanlah tempat peranginan hebat dengan pemandangan menakjubkan. Namun ia adalah tempat pelancongan yang mampu memberi keseronokan dan kedamaian. Bagi pengunjung yang tinggal di Kuala Lumpur dan Selangor, anda tidak perlu pergi jauh. Bercuti di Pantai Morib sedikit sebanyak akan meredakan tekanan kerja dan mengembalikan semangat baru. Bagi pengunjung yang pernah ke Pantai Morib, kongsikan pengalaman anda dengan pembaca lain dibahagian komen dibawah.

Lokasi