Bercuti di Pantai Remis Kuala Selangor

Pantai Remis Kuala Selangor adalah salah satu pantai cantik yang sesuai untuk bawa keluarga berjalan-jalan. Bagi penduduk Kuala Selangor, ia adalah tempat pelancongan menarik yang tidak asing lagi. Pantai ini sentiasa dipenuhi orang-ramai yang datang berkelah pada hujung minggu dan cuti umum. Kali ini Percutian Bajet akan menyingkap apa yang ada disini. Jadi, buat anda yang ingin ke Kuala Selangor, lihat samada Pantai Remis sesuai untuk dikunjungi atau tidak.

Nota: Untuk melihat semua lokasi menarik untuk bercuti, sila lawati halaman Senarai tempat menarik untuk percutian di Selangor.

Lokasi

Pantai Remis boleh dikunjungi terus dengan memandu kenderaan ke sana. Lokasi Pantai Remis ialah di Sg Sembilang, Jeram, kira-kira 20 KM dari Kuala Selangor. Ia terletak diantara Kuala Selangor dan Kapar.

Pantai Remis Kuala Selangor.

Tarikan pelancongan di Pantai Remis

Ada beberapa tarikan pelancongan jika bercuti di Pantai Remis Kuala Selangor.

Pantai

Pantai Remis bukanlah pantai yang cantik seperti pantai Teluk Cempedak di Pahang atau pantai-pantai menarik di Terengganu. Anda akan kecewa jika berharap untuk melihat pantai berpasir halus yang bersih dan air yang jernih untuk mandi-manda. Pantai ini ditambak dengan batu-batu besar dan kurang sesuai untuk mandi. Namun pengunjung masih boleh berjalan-jalan ditepi pantai berpasir, berehat di bangku atau dibawah pohon rhu yang terdapat disini sambil dibuai bayu laut yang berhembus. Tarikan Pantai Remis ialah untuk melihat pemandangan indah matahari terbenam di ufuk barat. Mega merah dilangit dan pantulan cahaya dipermukaan laut memberi gambaran yang cukup cantik dan mengagumkan.

Gerai makanan laut

Berbagai jenis gerai yang menjual pelbagai hasil laut. Ada yang menjual kerang segar, ikan kering, sotong dan bermacam-macam lagi. Ramai juga yang datang kesini semata-mata ingin menikmati makanan laut seperti laksa, ikan bakar, kerang rebus, kerang bakar, mee jawa dan lain-lain lagi.

Gerai jualan

Dimusim cuti sekolah terdapat deretan gerai ditepi pantai yang menjual pelbagai barangan seperti pakaian, tudung, barangan kraftangan dan lain-lain. Pasar tani juga turut dibuka disini. Barangan hasil laut, makanan, kuih-muih, sayur-sayuran dan bermacam-macam lagi boleh didapati. Pantai ini akan sesak dengan pengunjung yang datang dari merata-rata tempat.

Bermain layang-layang

Terdapat kawasan yang luas untuk bermain layang-layang di Pantai Remis. Ada beberapa peniaga yang menjual layang-layang dikawasan berhampiran pantai. Anda boleh bergembira bersama anak-anak.

Pantai Remis Selangor.

Kemudahan asas

Beberapa kemudahan asas disediakan untuk pengunjung Pantai Remis seperti:

  • Tandas.
  • Bilik mandi.
  • Surau.
  • Medan selera.
  • Tempat meletak kereta yang luas.

Aktiviti menarik di Pantai Remis

Antara aktiviti yang boleh dilakukan di Pantai Remis ialah:

  1. Bermain layang-layang.
  2. Melihat pemandangan menarik matahari terbenam.
  3. Bersantai, berehat, makan-makan.
  4. Memancing ikan.
  5. Mencari kerang, ala-ala, mentarang dan lain-lain.

Kulit kerang di tepi pantai.

Tarikan lain berhampiran Pantai Remis

Ada beberapa tarikan lain berhampiran Pantai Remis yang boleh anda kunjungi jika bercuti disini seperti:

  1. Bukit Melawati - Tempat bersejarah kota lama ini terdapat meriam, rumah api dan lain-lain. Disini juga terletak muzium Kuala Selangor.
  2. Taman Alam - Menikmati keindahan alam semulajadi hutan paya bakau, melihat burung dan lain-lain.
  3. Melihat kelip-kelip di Kuala Selangor - Terdapat tiga jeti pilihan iaitu di Kampung Kuantan, Kampung Bukit Belimbing dan Pasir Penambang.
  4. Eagle feeding - Memberi makan helang di Pasir Penambang.
  5. Berbagai tempat memancing ada disini.
  6. Pasar Kuala Selangor - berbagai hasil laut yang segar seperti ikan, udang, sotong, ketam dan lain-lain dijual disini.

Tempat makan berhampiran Pantai Remis

Jika anda mencari tempat makan yang sedap di Pantai Remis Kuala Selangor, ada beberapa restoran dan gerai yang boleh anda kunjungi. Senarai dibawah ialah antara tempat makan sedap dan terkenal yang boleh anda cuba. Semuanya terletak di Kuala Selangor tetapi ada yang agak jauh dari Pantai Remis.

  • Restoran Ikan Bakar Jeram.
  • Aroma Ikan Bakar.
  • Cendol Bakar Drive-Thru, Kg Assam Jawa, Kuala Selangor.

Penginapan di Pantai Remis

Ada beberapa jenis penginapan di Pantai Remis yang sesuai dijadikan lokasi percutian anda. Ada chalet, homestay dan resort menarik yang boleh anda pilih mengikut kesesuaian.

The Kabin Pantai Remis

The Kabin Pantai Remis ialah bilik penginapan yang dibina menggunakan kontena. Ia adalah resort menarik yang agak terkenal disini. Terdapat beberapa jenis bilik yang disediakan untuk pengunjung seperti:

  • Busan, Keihin, Kelang, Ho Chi Minh, Colombo dan Melbourne - Sesuai untuk 4 orang dengan 4 bunk bed. Harga bilik ialah RM240.
  • Shanghai, Singapore, Sharjah - Sesuai untuk 4 orang dengan 1 katil queen dan 2 bunk bed. Harga bilik ialah RM260.
  • Long Beach, Vancouver - Sesuai untuk 4 orang dengan 4 bunk bed. Bilik menghadap kolam renang. Harga bilik ialah RM290.
  • Santos, Balboa - Sesuai untuk 4 orang dengan 1 katil queen dan 2 bunk bed. Bilik menghadap kolam renang. Harga bilik ialah RM290.
  • Durban - Sesuai untuk 2 orang dengan 1 katil queen. Bilik menghadap kolam renang. Harga bilik ialah RM190.
  • Antwerp, Felixstowe, Hamburg - Sesuai untuk 6 orang dengan 1 katil queen dan 4 bunk bed. Harga bilik ialah RM390.
  • Rotterdam - Sesuai untuk 6 orang dengan 1 katil queen dan 4 bunk bed. Bilik menghadap kolam renang. Harga bilik ialah RM440.

Antara kemudahan yang disediakan di The Kabin Pantai Remis termasuk:

  • Bilik berhawa dingin.
  • Kolam renang.
  • Cafe.
  • Tempat BBQ.

The Kabin Pantai Remis Kuala Selangor.

Alamat:
The Kabin
Pantai Remis,
45800, Jeram, Kuala Selangor.

Hubungi:
Tel: 60185932014 / 0176783825
Email - info@thekabin.com.my

The Cabin Pantai Remis menyediakan penginapan yang selesa untuk percutian keluarga. Kedudukannya juga tidak berapa jauh dari pantai. Pengunjung boleh berjalan kaki atau menyewa basikal untuk bersiar-siar dikawasan berhampiran.

Pantai Indah Seaview Resort

Pantai Indah Seaview Resort terletak di Sungai Sembilang, tidak jauh dari Pantai Remis. Sebuah resort yang selesa dan sesuai untuk keluarga. Ia menawarkan harga yang sangat berpatutan. Antara bilik yang ada ialah:

  • Standard 2 bedroom family apartment - Harga RM100 satu malam.
  • Deluxe 3 bedroom family apartment - Harga RM120 satu malam.
  • Executive 3 bedroom family apartment - Harga RM160 satu malam.

Alamat:
Pantai Indah Seaview Resort
5182, Jalan Kapar,
Batu 17 Sungai Sembilang,
45800, Jeram, Kuala Selangor.

Hubungi:
Tel : +603 - 3264 9617, 3264 9618, 012 - 371 5628
Fax : 03 - 3264 9616
Email : info@seaviewresort.com.my

Nota: Untuk melihat semua tarikan pelancongan yang ada di negeri ini, sila lawati halaman Tempat menarik di Selangor mengikut daerah.

Setakat ini dahulu yang dapat kami kongsikan mengenai Pantai Remis Kuala Selangor. Walaupun ia bukannya tempat peranginan hebat dengan kelas tersendiri tetapi Pantai Remis memenuhi kriteria sebagai kawasan pelancongan menarik untuk bersama keluarga. Jika anda pernah ke sana, kongsikan pengalaman dan apa yang menarik dengan pengguna lain dibahagian komen dibawah.

Comments

3

Masih ade kekosongan lg keh kabin or resort tuh en.
Klu maaih ade saye beminar nk boking.

Tarikh in : 7hb Feb. 2016
Tarikh out : 8hb feb. 2016

Thanks.

If tomorrow evening (20/2/16) still available? For 1night.
Tq

Pntai agak Kotor.. Syg.. Kalau pngunjung sma2 jga kn bgus.. Seafood best.. ;) the kabin dengan pantai indah Seaview resort x jauh pn.. Dekat2 sja.. Boleh jln kaki ja..

Add new comment