Tempat menarik di Shah Alam untuk dilawati

Shah Alam merupakan destinasi percutian yang sangat popular di Malaysia. Ini kerana terdapat beberapa tarikan pelancongan yang unik di bandaraya ini menjadikan ia pilihan keluarga dan juga rombongan sekolah. Kali ini Percutian Bajet akan berkongsi senarai tempat menarik di Shah Alam untuk dilawati dan lokasi percutian yang sering menjadi pilihan pelancong.

Nota: Untuk melihat semua tarikan pelancongan yang ada di negeri ini, sila lawati halaman Tempat menarik di Selangor mengikut daerah.

Tempat menarik di Shah Alam.

Tempat menarik di Shah Alam

Shah Alam mempunyai banyak lokasi pelancongan yang boleh dikunjungi. Ada taman tema, pusat membeli-belah dan taman rekreasi yang menarik di sekitar bandaraya ini. Malah anda tidak perlu pergi jauh untuk menikmati keindahan alam semulajadi. Berikut ialah senarai tempat menarik di Shah Alam yang boleh dilawati.

i-City

i-City ialah tempat menarik di Shah Alam yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Ia merupakan tarikan pelancongan utama bandaraya ini. Namun bagi yang belum pernah ke sini, berikut ialah penerangan ringkas apa yang menarik di i-City Shah Alam.

  • Red Carpet - Muzium lilin yang menempatkan selebriti terkenal dunia termasuk ketua negara dan orang kenamaan.
  • Snowalk - Rumah salji. Jika anda ingin merasa suasana seperti di kutub utara, cuba Snowalk ini.
  • Water World - Water park popular yang menyediakan berbagai permainan air menarik.
  • Trick Art Museum - Berbagai lukisan 3D yang mengagumkan terdapat disini.
  • Space Mission - Ruang pameran ini memaparkan pelbagai peralatan sains dan teknologi angkasa lepas.
  • House of Horror - Rumah hantu yang canggih ini sangat menyeramkan.

Di i-City Shah Alam juga terdapat permainan menarik yang disediakan untuk kanak-kanak seperti:

  • Fun Drive - Ia adalah kawasan permainan kereta untuk kanak-kanak. Kereta yang disediakan mempunyai fungsi seperti go kart dimana terdapat pedal minyak dan juga brek. Kanak akan memandu didalam trek yang disediakan. Peraturan jalanraya juga ada dimana markah akan diberi apabila mengikut peraturan yang ditetapkan.
  • Itsy Bitsy - Taman tema dengan permainan menarik untuk kanak-kanak.
  • Jungle Adventure - Tempat permainan bumper car. Ibubapa juga boleh bermain bersama anak-anak disini.

Akhir sekali yang paling terkenal di i-City Shah Alam ialah City of Digital Lights iaitu lampu berirama yang berwarna-warni dan sangat cantik diwaktu malam. Jadi jika berkunjung ke bandaraya ini, jangan lupa untuk ke i-City yang penuh dengan keriangan.

Alamat:
i-Berhad
D-1-G, Jalan Multimedia 7/AJ,
40000 i-City, Shah Alam.

Lihat artikel: Bercuti di i City Shah Alam.

I-City Shah Alam.

Taman Botani Shah Alam

Taman Botani Shah Alam ialah sebuah taman rekreasi dan merupakan tempat menarik di Shah Alam untuk dilawati selepas i-City. Digelar taman ditengah bandar, ia turut dikenali dengan nama Bukit Cerakah, Taman Pertanian Malaysia dan juga Bukit Cahaya Seri Alam. Ia adalah satu-satunya taman botani yang mengetengahkan konsep botani hutan hujan tropika. Selain taman rekreasi, Taman Botani Shah Alam juga berperanan sebagai pusat pendidikan, penyelidikan saintifik dan pemuliharaan bagi pembangunan botani, hortikultur serta pertanian.

Tarikan utama pelancong ke sini ialah:

  • Taman Haiwan - Kawasan seluas 72 hektar ini mempunyai berbagai jenis haiwan seperti selembu, rusa, kuda, burung merak dan lain-lain.
  • Taman Hiasan - Sebuah taman dengan lanskap menarik dan tumbuh-tumbuhan menghijau yang menyejukkan mata.
  • Rumah Iklim Sederhana Empat Musim (RISEM) - Rasai sendiri suasana seperti di negara yang mempunyai empat musim di Eropah.
  • Taman Rempah Ratus & Pelbagai Minuman - Meliputi kawasan bukit seluas 16 hektar, terdapat ladang teh, kopi, lada hitam, buah pala dan kulit kayu manis.
  • Taman Kaktus - Taman yang direka seperti padang pasir ini mempunyai 3000 tumbuh-tumbuhan dari 145 variasi.
  • Taman Buah-buahan Tropika - Taman ini mempunyai berbagai jenis pokok buah-buahan tropika.
  • Taman Padi - Kawasan sawah padi lengkap dengan bangsal menarik.
  • Taman Konservasi Herba & Tumbuhan Ubatan - Selain berbagai jenis tanaman herba dan ubatan, lanskap menarik disini sungguh mempersonakan.

Di Bukit Cerakah ini juga terdapat empangan dan tasik yang luas. Anda dapat menikmati pemandangan yang cantik dan melihat pelbagai jenis ikan serta mempelajari cara-cara ikan dibiak didalam sangkar.

Akhir sekali, pengunjung dapat melawat rumah-rumah tradisional dari setiap negeri di semenanjung Malaysia yang dibina di Bukit Cerakah ini. Rumah yang cantik dikelilingi pokok-pokok hutan memang menarik sekali. Anda seolah berada diperkampungan melayu di zaman dahulu-kala.

Bukit Cerakah sememangnya tempat percutian di shah alam yang mesti dikunjungi. Anda tidak perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk melawat tempat-tempat menarik di taman botani. Ia dibuka dari pukul 8:30 pagi hingga 5:30 petang. Ia ditutup pada hari Isnin.

Alamat:
Taman Botani Negara Shah Alam
Taman Pertanian Malaysia,
40000 Shah Alam, Selangor.

Lihat artikel: Taman Botani Shah Alam.

Taman Botani Shah Alam.

Masjid Shah Alam

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah atau lebih dikenali sebagai Masjid Shah Alam merupakan salah sebuah masjid yang terbesar di Asia Tenggara. Ia mempunyai rekabentuk senibina Islam yang sangat mengagumkan. Menara dan kubah masjid ini adalah yang tertinggi di dunia. Jika anda bercuti di Shah Alam, pastikan anda menziarahi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Alamat:
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Persiaran Masjid,
40000 Shah Alam, Selangor.

Masjid Shah Alam.

Muzium Sultan Alam Shah

Muzium Sultan Alam Shah ini mempunyai rekabentuk dan senibina yang sangat cantik dan mengagumkan. Pengunjung boleh melawati muzium yang terletak bersebelahan dengan Perpustakaan Raja Uda ini bagi melihat barangan bersejarah dan kebudayaan di Negeri Selangor. Terdapat lima buah balai pameran yang boleh dilawati iaitu Balai Sejarah, Balai Kebudayaan, Balai Warisan Alam Semulajadi, Balai Sukan dan Balai Islam. Di muzium ini juga terdapat pameran luar yang memaparkan kereta antik, kapal terbang dan keretapi lama. Muzium Sultan Alam Shah adalah gedung sejarah dan tempat menarik di Shah Alam yang harus dikunjungi.

Alamat:
Muzium Sultan Alam Shah
Persiaran Bandaraya, Seksyen 14,
40000 Shah Alam, Selangor.

Muzium Sultan Alam Shah.

Laman Seni Seksyen 7

Bagi peminat seni lukis dan mereka yang suka bergambar, anda boleh mengunjungi Laman Seni Tujuh yang sangat popular di Shah Alam. Ia adalah kawasan street art di Seksyen 7 yang terkenal dengan lukisan 3D mengagumkan. Terdapat berbagai lukisan menarik yang dilukis dibelakang bangunan butik membeli-belah. Pengunjung hanya perlu beraksi dan ambil gambar dari sudut yang dicadangkan, kemudian lihat gambar yang dihasilkan. Sangat menarik.

Alamat:
Laman Seni Tujuh
Jalan Plumbum R7/R, Seksyen 7,
40000 Shah Alam, Selangor.

Laman Seni Tujuh.

High 5 Bread Town

High 5 Bread Town adalah bandar roti yang pertama sepertinya di dunia. Jadi jika anda bercuti ke Shah Alam, jangan lupa untuk melawat muzium roti ini untuk melihat sejarah roti, bagaimana ia dibuat pada zaman dahulu.

Alamat:
High5 Bread Town
Lot 72, Persiaran Jubli Perak, Seksyen 21,
40000 Shah Alam, Selangor.

High 5 Bread Town Shah Alam.

Perpustakaan Raja Tun Uda

Perpustakaan Raja Tun Uda ialah gedung ilmu di Shah Alam. Bagi anda yang belum pernah ke perpustakaan ini, anda mesti datang. Ini kerana ramai antara kita yang merasakan perpustakaan adalah sebuah tempat yang membosankan. Tetapi setelah anda ke mari, pasti tanggapan anda akan berubah.

Sebagai sebuah perpustakaan negeri, Perpustakaan Raja Tun Uda menggunakan teknologi tinggi dan lengkap dengan kemudahan moden.Terdapat gymnasium untuk pelbagai peringkat umur, zon kreatif untuk kanak-kanak, 3D filem, kemudahan wifi dan 100 buah komputer peribadi. Bagi mendidik dan memupuk sikap cintakan ilmu dalam diri anak-anak, perpustakaan ini adalah tempat menarik di Shah Alam yang mesti dikunjungi.

Alamat:
Perpustakaan Raja Tun Uda
Pesiaran Perdagagan, Seksyen 14,
40000 Shah Alam, Selangor.

Taman Tema Air Wet World

Salah satu tempat menarik untuk bercuti bersama keluarga ialah di Shah Alam water park. Selain di i-City, terdapat satu lagi taman tema air di shah alam iaitu Wet World yang terletak di Seksyen 2. Pengunjung boleh bergembira dan bersuka-ria dengan pelbagai permainan air menarik yang disediakan.

Lihat artikel Wet World Shah Alam Water Park untuk maklumat lanjut.

Alamat:
Wet World Water Park Shah Alam
Persiaran Dato Menteri, Seksyen 2,
40000 Shah Alam, Selangor.

Taman Tasik Shah Alam

Jika anda mencari tempat riadah di shah alam, ada beberapa lokasi yang boleh dikunjungi. Salah satu darinya ialah Taman Tasik Shah Alam. Ia merupakan tempat rekreasi yang menjadi tumpuan penduduk bandaraya ini. Berbagai aktiviti yang boleh dilakukan seperti beriadah, berkayak dan menaiki bot di tasik yang luas. Disebabkan kedudukannya di tengah bandar, ramai yang membawa keluarga berehat dihujung minggu sambil bersantai melihat kumpulan angsa yang jinak dan juga burung-burung yang ada disini.

Alamat:
Taman Tasik Shah Alam
Pesiaran Tasek, Seksyen 14,
40000 Shah Alam, Selangor.

Taman Tasik Shah Alam.

Uptown Shah Alam

Salah satu aktiviti menarik di shah alam yang boleh dilakukan ialah membeli-belah. Jika anda ingin membeli-belah, banyak pasaraya dan butik pakaian yang boleh dikunjungi. Namun untuk aktiviti malam di Shah Alam yang lebih menarik, anda boleh ke Uptown Shah Alam yang terletak di Seksyen 24. Uptown ini sangat popular kerana terdapat berbagai barangan yang dijual seperti pakaian, aksesori, makanan dan lain-lain lagi. Kadang-kadang ada persembahan nyanyian, nasyid, forum dan lain-lain. Uptown Shah Alam beroperasi pada hari Isnin-Ahad, 8.30pm-3am.

Alamat:
Uptown Shah Alam
LKSA, 40300 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan.

Uptown Shah Alam.

Penginapan di Shah Alam

Banyak hotel yang menarik untuk dijadikan tempat penginapan di Shah Alam. Untuk melihat senarai dan potongan harga hotel di Shah Alam, anda boleh menyemak dan menempah bilik penginapan melalui BOOKING.COM.

Nota: Ingin melihat lokasi menarik untuk bercuti? Sila lawati halaman Tempat percutian menarik di Selangor.

Shah Alam mempunyai berbagai tarikan menjadikannya destinasi percutian pilihan ramai. Bagi warga kota pula, ia merupakan lokasi paling sesuai untuk luangkan masa bersama keluarga kerana kedudukannya hampir dengan Kuala Lumpur. Semoga dengan senarai tempat-tempat menarik di Shah Alam yang dikongsikan diatas, anda boleh merancang lokasi menarik untuk dikunjungi semasa bercuti nanti. Dan jangan lupa kongsikan pengalaman anda melawat destinasi menarik dibahagian komen dibawah. Selamat bercuti!

Lokasi