Senarai air terjun di Malaysia

Malaysia mempunyai banyak tempat pelancongan alam semulajadi yang menjadi tarikan pelancong. Salah satu darinya ialah air terjun. Terdapat banyak air terjun di Malaysia yang cantik dan mempunyai daya tarikan tersendiri. Disini kami senaraikan air terjun terkenal yang menjadi tumpuan pelancong untuk bercuti, berkelah bersama keluarga, mandi-manda atau berehat menenangkan fikiran.

Nota: Jika anda ingin bercuti atau berkelah bersama keluarga dikawasan air terjun, pastikan anda membaca artikel menarik Sayangi air terjun kita.

Air terjun popular di Malaysia

Berikut ialah senarai air terjun di Malaysia yang menjadi lokasi pilihan di musim percutian:

Air terjun Kemensah

Air terjun Kemensah atau lebih dikenali sebagai Air Terjun Batu Asah terletak di Kampung Kemensah, Hulu Kelang, Selangor. Jaraknya hanya 15 KM dari Kuala Lumpur. Ia termasuk dalam kawasan hutan simpan Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Bagi pengunjung yang ingin ke sana, lokasi air terjun ini tidak jauh dari Zoo Negara.

Pemandangan air terjun Kemensah

Sebenarnya Air Terjun Kemensah ini bukanlah air terjun tinggi yang mengagumkan dengan kawasan berbatu dan kolam semulajadi seperti air terjun lain. Ia hanya lebih kepada sungai yang telah dibangunkan dan kolam mandi dibina lebih besar sesuai untuk orang-ramai mandi. Sebab itu ramai juga yang mengenali tempat ini sebagai Sungai Kemensah.

Aktiviti menarik yang boleh dilakukan selain mandi kolam ialah menunggang ATV. Ada beberapa operator pelancongan (chalet) yang menyediakan perkhidmatan ini. Pengunjung juga boleh melakukan aktiviti perkhemahan dan bbq untuk memberi pengalaman baru pada anak-anak. Kemudahan asas yang disediakan termasuk jalanraya hingga ke kawasan air terjun, tandas dan surau. Pengunjung perlu menyewa untuk kemudahan lain seperti tapak perkelahan, gazebo, bilik persalinan dan chalet penginapan. Tiada restoran atau kedai makan disini. Jadi jangan lupa untuk membawa bekalan makanan secukupnya.

Air terjun Serendah

Air terjun Serendah terletak di daerah Hulu Selangor, iaitu kira-kira 35 KM dari Kuala Lumpur. Perjalanan dari Rawang ke Serendah mengambil masa lebih-kurang 20 minit. Pengunjung akan melalui perkampungan orang asli sebelum tiba ke kawasan air terjun. Jalan berturap tetapi agak sempit.

Air terjun Serendah

Bagi pembaca yang tertanya-tanya, air terjun Serendah ini ialah air terjun betul bukan sungai seperti Air Terjun Kemensah. Terdapat beberapa tingkat air terjun semulajadi menarik yang ada disini. Airnya sejuk dan kawasan sekitar dikelilingi pokok-pokok hutan yang menghijau. Ia merupakan air terjun menarik di Selangor yang menjadi lokasi popular perkelahan di hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Jika anda lebih gemarkan suasana tenang alam semulajadi, Air terjun Serendah pasti tidak mengecewakan. Kemudahan asas turut disediakan disini termasuk gerai makanan ringan, bilik persalinan, tandas, pondok (wakaf) dan kawasan perkhemahan.

Air terjun Chamang

Air terjun Chamang terletak di Hutan Lipur Sungai Chamang, iaitu di dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Tinggi, daerah Bentong, Pahang. Jarak air terjun ini ialah kira-kira 8 KM dari bandar Bentong. Air terjun Chamang sangat cantik dan menjadi destinasi percutian popular pelancong di negeri Pahang.

Air terjun Chamang

Keunikan air terjun Chamang ialah ia terletak dalam kawasan hutan yang kaya dengan flora dan fauna. Air terjunnya berarus deras dan mengalir di atas batu yang terhampar. Aktiviti yang boleh dilakukan disini selain mandi-manda ialah berkelah, aktiviti perkhemahan dan jungle trekking. Kemudahan asas yang disediakan ialah kawasan meletak kereta, tapak perkhemahan, tandas, bilik persalinan dan tempat bbq.

Air terjun Sekayu

Anda suka dengan air terjun Chamang? Jika anda melancong ke Terengganu, ada air terjun menarik yang boleh dikunjungi iaitu air terjun Sekayu. Air terjun cantik ini terletak di Hutan Lipur Sekayu, daerah Hulu Terengganu. Jarak dari pekan Kuala Berang ialah kira-kira 16 kilometer. Jika melalui Lebuhraya Pantai Timur, anda boleh ikut persimpangan Ajil.

Air terjun Sekayu mempunyai tiga tingkat air terjun yang mempersonakan. Selain mandi-manda, pengunjung yang gemar menikmati keindahan dan suasana alam semulajadi boleh menginap di kawasan peranginan ini. Kemudahan yang disediakan di kawasan air terjun ini ialah chalet penginapan, taman permainan kanak-kanak, pondok rehat, tapak perkhemahan dan trek jungle trekking.

Air terjun Sekayu di Terengganu yang sangat cantik.

Keterangan gambar: Air terjun Sekayu terkenal kerana air terjun yang cantik serta air yang jernih dan sejuk.

Air terjun Berkelah

Anda inginkan air terjun yang betul-betul menarik dan lebih semulajadi? Air terjun Berkelah di Pahang ini pasti tidak mengecewakan. Ia sangat terkenal dikalangan peminat air terjun di Malaysia. Lokasi air terjun ini ialah di daerah Maran, kira-kira 45 km dari Bandar Kuantan.

Air terjun Berkelah menarik kerana mempunyai air terjun yang tinggi, kolam yang luas dan dalam serta air yang sejuk menyegarkan. Terdapat tujuh tingkat air terjun tetapi untuk ke air terjun yang ke tujuh pengunjung perlu berjalan dan mendaki agak jauh. Namun pemandangan air terjun yang menarik dan suasana damai di sini pasti menenangkan perasaan sesiapa sahaja.

Kawasan air terjun Berkelah juga sesuai untuk perkhemahan. Kemudahan asas yang ada di kawasan air terjun ini ialah tandas, bilik mandi , pondok rehat dan gerai makanan.

Air terjun Berkelah yang cantik.

Keterangan gambar: Pemandangan air terjun Berkelah yang cantik.

Air terjun Gunung Ledang

Terletak di Sagil, Tangkak, Johor. Ia juga dikenali dengan Air terjun Sagil. Air terjun ini mempunyai kolam cetek yang sesuai untuk anak-anak mandi dibahagian bawah. Kawasan ini menjadi tumpuan orang ramai yang datang berkelah di hujung minggu dan musim cuti persekolahan. Bagi pengunjung yang ingin menikmati keindahan air terjun Gunung Ledang, anda perlu mendaki sedikit untuk ke air terjun di kawasan atas. Pemandangannya memang menarik. Lihat artikel Mandi-manda di air terjun Gunung Ledang Sagil, Johor.

Air terjun Gunung Ledang yang popular.

Keterangan gambar: Air terjun Gunung Ledang yang cantik ini sentiasa menjadi tumpuan pelancong.

Air terjun Lata Kinjang

Air terjun menarik yang terletak di Tapah, Perak. Air terjun Lata Kinjang boleh dilihat dari lebuhraya utara-selatan menjadikannya sangat terkenal. Ia mempunyai kolam yang luas dan agak dalam. Namun terdapat bahagian cetek yang sesuai untuk kanak-kanak mandi.

Air terjun Lata Kinjang Di Perak.

Keterangan gambar: Air terjun Lata Kinjang juga sangat cantik dan menjadi lokasi perkelahan di musim cuti persekolahan.

Air terjun Sungai Tekala

Air terjun Sungai Tekala terletak di Semenyih, Selangor. Ia agak terkenal dan menjadi tumpuan pengunjung terutama keluarga yang datang berkelah ke sini. Air terjunnya tidaklah menarik sangat dan lebih kepada sungai dari air terjun. Sungainya yang cetek sesuai untuk kanak-kanak mandi. Pengunjung yang ingin 'feel' air terjun perlu mendaki lebih atas kerana terdapat air terjun yang lebih cantik disana.

Kemudahan asas yang ada di kawasan air terjun Sungai Tekala ialah surau, tandas dan pondok rehat (wakaf). Tempat meletak kereta disediakan dan bayaran masuk juga dikenakan.

Air terjun Sg Tekala yang sangat menarik.

Keterangan gambar: Air terjun Sungai Tekala menjadi tumpuan pelancong untuk mandi-manda dan berkelah.

Lain-lain air terjun di Malaysia

Selain air terjun yang disenaraikan diatas, terdapat beberapa air terjun menarik di Malaysia yang agak kurang dikenali atas beberapa sebab. Antaranya ialah kerana kurang promosi, lokasi yang agak jauh ke dalam hutan dan juga tiada kemudahan asas.

  1. Air terjun Sungai Gabai - Terletak di Selangor. Air terjun ini kadang-kadang cuma dipanggil Air Terjun Gabai.
  2. Air terjun Pelangi - Antara air terjun tercantik di Malaysia. Air terjun Pelangi terletak di Sungai Lembing, Pahang.
  3. Air terjun Kalumpang - Terletak di Kampung Pasir Putih, Kuala Kubu Bharu, daerah Hulu Selangor, Selangor. Air terjun ini juga dikenali dengan nama Taman Rekreasi Sungai Inki.
  4. Air terjun Bekok - Terletak di Segamat, Johor.
  5. Air terjun Jerangkang - Terletak di Maran, Pahang.
  6. Air terjun Asahan - Terletak di Asahan, Melaka. Air terjun ini berasal dari Gunung Ledang dan menjadi tempat perkelahan serta mandi-manda penduduk setempat.
  7. Air terjun Gunung Pulai - Terletak di Kulai, Johor.
  8. Air terjun Ulu Bendul - Terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
  9. Air terjun Sungai Congkak - Terletak di Hulu Langat, Selangor.
  10. Air terjun Sungai Pandan - Terletak di Kuantan, Pahang. Juga dikenali dengan nama Air terjun Panching.
  11. Air terjun Gunung Stong - Terletak di Kuala Krai, Kelantan.
  12. Air terjun Jelawang - Terletak di Dabong, Kelantan.
  13. Air terjun Ulu Chepor - Terletak di Chemor, Perak.
  14. Air terjun Bukit Belacan - Terletak di Ampang, Selangor.
  15. Air terjun Lata Iskandar - Terletak di Perak.
  16. Air terjun Lata Bukit Hijau - Terletak di Baling, Kedah.
  17. Air Terjun Puteri Mandi - Terletak di Gunung Jerai, Kedah.
  18. Air Terjun Kota Tinggi - Terletak di Kota Tinggi, Johor.

Berikut ialah gambar-gambar menarik pemandangan air terjun di Malaysia.

Air terjun Sg Chiling di Selangor.

Keterangan gambar: Pemandangan air terjun Sg Chiling yang terletak di Selangor.

Air terjun Lata Rek.

Keterangan gambar: Pemandangan air terjun Lata Rek yang sangat cantik.

Air terjun Lata Berangan yang sangat menarik.

Keterangan gambar: Air terjun Lata Berangan juga sangat cantik dan mempunyai tarikan tersendiri.

Air terjun Ulu Yam yang menarik.

Keterangan gambar: Air terjun Ulu Yam merupakan lokasi perkelahan yang menjadi tumpuan ramai dihujung minggu.

Senarai air terjun diatas ialah antara tempat pelancongan menarik di Malaysia yang sering menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. Kedudukan senarai adalah berdasarkan populariti sesebuah air terjun bukan kerana kecantikan, ketinggian atau kawasan air terjun yang menarik. Tidak dinafikan memang terdapat banyak lagi air terjun di Malaysia yang lebih menarik tetapi kurang dikenali. Jika anda rasa ada air terjun cantik yang tidak termasuk didalam senarai diatas dan wajar diketengahkan, sila tinggalkan komen dibawah.

Add new comment