Tempat percutian menarik di Malaysia

Percutian yang hebat tidak semestinya ke luar negara. Malah untuk menikmati percutian menarik dan bermakna juga tidak semestinya memerlukan bajet yang besar. Kita sangat beruntung kerana terdapat banyak tempat menarik di Malaysia yang boleh dikunjungi. Kali ini laman web Percutian Bajet telah menyusun senarai tempat percutian menarik di Malaysia yang paling popular mengikut jenis percutian sebagai panduan pengunjung memilih dan merancang destinasi yang sesuai untuk percutian mereka.

Lihat artikel: Tempat menarik bagi senarai tempat percutian yang menarik di Malaysia mengikut negeri.

Sebagai pengenalan, berbagai jenis pelancongan dan tempat menarik di Malaysia yang sesuai untuk dijadikan destinasi percutian. Negara kita mempunyai perkhidmatan pengangkutan yang baik dan pelbagai perkhidmatan lain yang menyokong industri pelancongan untuk berkembang dengan pesat. Hampir semua destinasi pelancongan menarik di Malaysia mempunyai kemudahan penginapan seperti hotel, resort atau chalet yang turut menyediakan makanan serta aktiviti menarik untuk pengunjung. Agensi-agensi pelancongan juga turut menawarkan pelbagai pakej percutian ke mana sahaja termasuk pulau menarik, kawasan peranginan tanah tinggi, taman tema popular dan juga tempat bersejarah.

Percutian menarik di taman tema

Salah satu percutian keluarga paling popular di Malaysia ialah taman tema. Malaysia mempunyai banyak taman tema menarik yang sesuai dijadikan destinasi percutian keluarga. Selain berbagai aktiviti menarik, taman tema juga biasanya menyediakan kemudahan penginapan untuk pengunjung. Untuk lebih menjimatkan, anda boleh memilih pakej promosi yang disediakan diwaktu-waktu tertentu. Berikut ialah senarai taman tema paling popular yang merupakan tempat percutian menarik di Malaysia:

  1. Sunway Lagoon - Taman tema air yang paling popular di Malaysia ini mempunyai berbagai jenis permainan yang menarik untuk seisi keluarga. Terletak di Petaling Jaya, Selangor, Sunway Lagoon turut menyediakan pelbagai permainan lain sebagai aktiviti riang-ria seperti Amusement Park, Wildlife Park, Extreme Park dan Scream Park. Lihat artikel Sunway Lagoon Water Park Malaysia.
  2. Gold Coast Morib - Tempat pelancongan menarik di Malaysia yang kedua paling popular bagi kategori taman tema. Taman tema air yang menarik ini terletak di Banting, Selangor. Gold Coast Morib menyediakan 672 bilik untuk penginapan dan berbagai aktiviti menarik di Outdoor Water Theme Park. Lihat artikel Gold Coast Morib Resort, Banting.
  3. Lost World Of Tambun - Taman tema air ini terletak di Ipoh, Perak. Lost World Of Tambun merupakan taman tema ketiga paling popular di Malaysia. Berbagai aktiviti menarik terdapat disini termasuk Water Park, Amusement Park dan Wildlife Park. Penginapan juga disediakan di taman tema ini. Lihat artikel Percutian ke Lost World of Tambun.
  4. Legoland - Taman tema Legoland Malaysia terletak di Kota Iskandar, Johor Bahru, Johor. Walaupun baru, taman tema ini hampir sama popular dengan Lost World Of Tambun. Antara aktiviti menarik dan permainan yang ada di Legoland Malaysia ialah Miniland, Imagination, Lego Technic, Lego Kingdoms, Land of Adventure, Lego city dan berbagi-bagai lagi. Water Park juga ada disini. Legoland Hotel pula menyediakan sebanyak 249 bilik untuk pelancong yang ingin bermalam disini. Lihat artikel Harga tiket dan aktiviti menarik di Legoland Johor.
  5. A'Famosa resort - Taman tema yang terletak di Melaka ini juga cukup menarik untuk percutian keluarga di Malaysia. Terdapat Water Theme Park, Safari Wonderland, Old West dan Sports & Recreation. Hotel penginapan juga disediakan untuk pengunjung yang ingin bermalam disini. Lihat artikel Bercuti di A Famosa Resort Melaka.
  6. Desa Water Park - Terletak di Taman Danau Desa, Kuala Lumpur, taman tema ini sama popular dengan Bukit Merah Laketown Resort. Desa Water Park menyediakan berbagai aktiviti dan permainan air yang menarik untuk seisi keluarga. Lihat artikel Percutian keluarga di Desa Water Park untuk maklumat lanjut.
  7. Bukit Merah Laketown Resort - Taman tema terkenal di Perak ini merupakan destinasi percutian yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Selain berbagai aktiviti air, terdapat Pulau Orang Utan dan tasik yang sangat cantik. Bagi penginapan pula, ada berbagai jenis bilik, chalet air yang menarik diatas permukaan tasik dan apartment disediakan untuk pengunjung. Lihat artikel Percutian menarik di Bukit Merah Laketown Resort.
  8. Wet World Shah Alam - Taman tema ini terletak berhampiran tasik Shah Alam di Selangor. Wet World Water Park adalah antara taman tema yang popular di Malaysia. Berbagai aktiviti dan permainan air yang menarik terdapat disini. Lihat artikel Wet World Shah Alam Water Park.
  9. Bukit Gambang Water Park - Salah satu destinasi percutian menarik di Malaysia yang terletak di Gambang, Pahang. Selain berbagai aktiviti air yang menarik, Bukit Gambang Water Park turut menyediakan penginapan menarik di Caribbean Bay Resort, Arabian Bay Resort dan Global Heritage resort.
  10. Genting Highland Theme Park - Taman tema yang paling popular satu ketika dulu kini agak kurang mendapat sambutan kerana taman tema permainan yang ditutup kerana dinaiktaraf pada ketika ini. Namun hotel dan beberapa permainan indoor masih dibuka untuk pengunjung. Ia masih lagi satu tempat percutian yang paling menarik di Malaysia kerana suhu sejuk di tanah tinggi. Lihat artikel Genting Highland Theme Park.
  11. Wonderland Melaka - Taman tema air yang semakin popular sebagai lokasi percutian keluarga ini terletak di Ayer Keroh, Melaka. Berbagai permainan air yang menarik disediakan untuk pengunjung. Lihat artikel Percutian menarik di Melaka Wonderland.

Lihat artikel: Senarai taman tema di seluruh Malaysia.

Percutian menarik di taman tema.

Keterangan gambar: Salah satu permainan menarik di Taman Tema Legoland Malaysia.

Percutian pulau di Malaysia

Percutian pulau sangat popular bagi pelancong dari luar negara yang datang ke Malaysia. Ini kerana Malaysia mempunyai banyak pulau-pulau yang cantik dan hidupan laut serta coral yang sangat menarik. Pemandangan dasar laut di sekitar pulau-pulau di Malaysia adalah antara yang tercantik di dunia. Antara pulau-pulau yang menjadi tempat percutian menarik di Malaysia ialah:

  1. Pulau Perhentian - Tempat menarik di Malaysia yang paling popular untuk kategori percutian pulau ini terletak di Terengganu. Pulau Perhentian mempunyai pantai yang cantik dan air laut yang jernih sesuai untuk aktiviti snorkeling. Ia juga merupakan salah satu destinasi percutian bajet di Malaysia. Mempunyai resort dan chalet yang banyak untuk backpackers dan juga untuk tempahan pakej pelancongan.
  2. Pulau Tioman - Terletak di negeri Pahang, pulau ini merupakan destinasi percutian pulau yang kedua popular. Pulau Tioman adalah tempat percutian di Malaysia yang telah lama terkenal bagi pelancong luar terutama dari Eropah. Terdapat banyak resort menarik yang menawarkan pakej percutian untuk keluarga atau persendirian.
  3. Pulau Redang - Pulau ini terletak di negeri Terengganu. Ia merupakan destinasi percutian yang terkenal dengan pantai yang cantik serta air laut yang jernih. Pulau Redang menjadi pilihan lokasi pelancongan bagi mereka yang inginkan ketenangan dan kedamaian.
  4. Pulau Pangkor - Pulau percutian yang terletak di Selat Melaka ini berada dalam negeri Perak. Ia merupakan destinasi percutian popular di pantai barat semenanjung Malaysia. Banyak resort dan chalet menarik disediakan untuk pengunjung.
  5. Pulau Langkawi - Pulau yang terkenal dengan kisah lagenda dan pelbagai mitos ini merupakan tempat percutian menarik di Malaysia dan sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Pulau Langkawi sentiasa menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

Lihat artikel: Pulau-pulau di Malaysia yang menarik untuk percutian.

Percutian menarik di pulau peranginan.

Keterangan gambar: Pemandangan cantik pantai di Pulau Pangkor Laut.

Peranginan tanah tinggi di Malaysia

Percutian di kawasan peranginan tanah tinggi memang menyeronokkan. Suasana damai dengan kehijauan pokok-pokok dan udara bersih yang menyegarkan memberi kepuasan tersendiri. Jika anda inginkan suasana percutian seperti di luar negara, ada beberapa tempat menarik di Malaysia yang boleh anda kunjungi seperti:

  1. Cameron Highland - Pusat peranginan tanah tinggi ini terletak di negeri Pahang. Cameron Highland ialah destinasi percutian tanah tinggi yang paling popular di Malaysia. Suhu yang sejuk dan tempat penginapan yang banyak menjadikan Cameron Highland lokasi pelancongan pilihan setiap kali tiba musim cuti persekolahan. Lihat artikel Senarai tempat menarik di Cameron Highland untuk dilawati.
  2. Genting Highland - Selain popular dengan taman tema yang ada disini, Genting Highland juga merupakan destinasi percutian tanah tinggi yang popular di Malaysia.
  3. Bukit Tinggi - Pusat pelancongan tanah tinggi ini terletak dalam negeri Pahang. Salah satu destinasi percutian menarik di Malaysia yang paling popular. Sila lawati halaman Percutian menarik di Bukit Tinggi Bentong Pahang untuk maklumat lanjut.
  4. Bukit Fraser - Juga terletak di negeri Pahang, Bukit Fraser turut menjadi destinasi percutian tanah tinggi yang terkenal di Malaysia.
  5. Bukit Bendera - Terletak di Pulau Pinang, Bukit Bendera adalah destinasi percutian yang mempunyai sejarah tersendiri. Antara tarikan Bukit Bendera ialah keretapi kabel yang mengangkut pelancong ke puncak bukit. Lihat artikel Bercuti ke Bukit Bendera.
  6. Kundasang - Pusat peranginan tanah tinggi yang terletak di negeri Sabah ini merupakan salah satu destinasi percutian menarik di Malaysia yang harus dikunjungi. Keindahan alam semulajadi dan udara yang segar menjadi tarikan pelancong untuk ke Kundasang.
  7. Gunung Jerai - Gunung yang tertinggi di negeri Kedah ini merupakan salah satu tempat percutian di Malaysia yang semakin dikunjungi pelancong. Walaupun kurang terkenal, Gunung Jerai mempunyai banyak aktiviti pelancongan yang boleh dilakukan serta banyak tempat-tempat menarik untuk dikunjungi. Resort penginapan juga disediakan untuk pengunjung yang ingin bermalam di puncak gunung. Lihat artikel Tempat menarik di Gunung Jerai, Kedah.
  8. Bukit Larut - Bukit yang terletak di Taiping, Perak ini merupakan salah satu destinasi percutian menarik yang sangat terkenal kerana ia merupakan salah satu lokasi yang paling banyak menerima hujan di Malaysia. Bukit larut kaya dengan berbagai flora dan fauna serta memiliki keindahan alam semulajadi yang tersendiri. Lihat artikel Bercuti di Bukit Larut.
Percutian menarik di peranginan tanah tinggi.

Keterangan gambar: Pemandangan menarik Pejabat Pos di Bukit Fraser.

Kolam Air Panas di Malaysia (Hotsprings)

Pernahkah anda bercuti di kawasan rekreasi air panas? Jika belum pernah, bawalah keluarga merasai percutian menyeronokkan ini. Pelancongan kolam air panas bukan seperti dulu lagi. Kini kolam air panas merupakan antara tempat menarik di Malaysia yang menyediakan berbagai kemudahan termasuk resort dan chalet untuk pengunjung. Antara destinasi percutian popular kolam air panas ialah:

  1. Banjaran Hotspring - Terletak di Ipoh. Ia adalah antara kolam air panas semulajadi yang terawal dimajukan di Malaysia. Kini ia sudah dikomersialkan dan menjadi pusat pelancongan spa yang terkenal di Perak.
  2. Felda Residence Hotspring - Juga dikenali sebagai Taman Rekreasi Air Panas, Sungai Klah. Ia merupakan lokasi popular pelancong yang bercuti di daerah Batang Padang, Perak.
  3. Poring Hot Spring - Terletak di Ranau, Sabah. Poring hot springs cukup dikenali dan menjadi salah satu destinasi pelancongan utama di Ranau. Lihat artikel Mandi-manda di Poring Hotspring Sabah.
  4. Tambun Hot Springs - Terletak di Lost World Of Tambun, Ipoh. Ia adalah pusat pelancongan spa yang terkenal di Tambun. Pakej spa Tambun Hot Springs turut ditawarkan oleh hotel Lost World of Tambun. Lihat artikel Bercuti di Tambun Hot Spring & Spa.
  5. Ulu Legong Hot Springs - Taman Rekreasi air panas Ulu Legong, Baling, Kedah ini merupakan destinasi percutian yang sangat menarik. Ia agak kurang mendapat liputan dan promosi yang sepatutnya. Terdapat kemudahan chalet menarik didalam kawasan hot springs untuk penginapan pelancong dan homestay yang banyak di kampung KEDA Ulu Legong. Lihat artikel Air panas Ulu Legong, Baling.
  6. Gadek Hot Springs - Terletak di Kampung Ganun, Alor Gajah, Melaka.
  7. Grisek Hot Springs - Terletak di daerah Muar, Grisek Hot Springs adalah salah satu lokasi percutian menarik di Johor.
  8. Pedas Hot Springs - Terletak di Negeri Sembilan. Maklumat lanjut boleh dibaca di halaman Bercuti di Pedas Hot Springs.
Percutian di kolam air panas semulajadi.

Keterangan gambar: Poring Hot springs, Sabah.

Air terjun di Malaysia

Air terjun lebih terkenal sebagai lokasi perkelahan dan tempat rekreasi berbanding destinasi percutian. Namun beberapa langkah kerajaan yang diambil beberapa tahun sebelum ini iaitu memajukan kawasan air terjun dengan membina resort dan chalet penginapan serta menyediakan aktiviti menarik telah menjadikan kawasan air terjun satu tempat peranginan yang semakin popular di Malaysia. Kini terdapat banyak kawasan air terjun yang menjadi destinasi tempat percutian menarik di Malaysia. Berikut ialah senarai air terjun popular di Malaysia yang boleh dikunjungi:

  1. Air terjun Kemensah - Air terjun yang terletak di Kampung Kemensah, Hulu Kelang. Ia merupakan kawasan perkelahan yang paling popular di Selangor.
  2. Air terjun Serendah - Air terjun ini juga terletak di Selangor. Air terjun Serendah sentiasa menjadi tumpuan pengunjung di hari minggu dan musim cuti sekolah.
  3. Air terjun Chamang - Terletak di daerah Bentong, Pahang. Air terjun cantik yang terkenal dan menjadi destinasi popular pelancong yang melawat negeri Pahang.
  4. Air terjun Sekayu - Air terjun terkenal yang terletak di Terengganu. Ia adalah lokasi pelancongan yang tidak asing lagi bagi peminat air terjun di Malaysia.
  5. Air terjun Berkelah - Air terjun yang sangat cantik ini terletak Maran, Pahang. Terdapat kolam yang luas dan sesuai untuk mandi bagi orang dewasa. Pemandangan alam semulajadi disini juga sangat menarik.
  6. Air terjun Gunung Ledang - Terletak di Sagil, Tangkak, Johor. Lokasi perkelahan popular masyarakat setempat.
  7. Air terjun Sungai Gabai - Satu lagi lokasi air terjun yang popular di Selangor.
  8. Air terjun Pelangi - Terletak di Sungai Lembing, Pahang. Air terjun ini sangat popular bagi peminat air terjun di Malaysia.
  9. Air terjun Kalumpang - Terletak di Kampung Pasir Putih, Kuala Kubu Bharu, Selangor.
  10. Air terjun Lata Bukit Hijau - Terletak di Baling, Kedah. Air terjun lata Bukit Hijau mempunyai beberapa tingkat air terjun menarik dan kolam mandi yang luas untuk dinikmati orang-ramai yang bercuti ke sini.

Lihat artikel: Senarai air terjun di Malaysia.

Percutian di kawasan peranginan air terjun.

Keterangan gambar: Aktiviti water tubing di kawasan peranginan air terjun.

Pantai di Malaysia

Malaysia mempunyai banyak pantai yang sangat cantik terutama di pulau peranginan. Namun pantai di tanah besar juga tidak kurang hebatnya. Bagi pengunjung yang teringin bercuti dikawasan pantai tetapi tidak dapat bercuti ke pulau peranginan kerana mengandung atau takut naik bot, anda jangan bersedih. Masih ada beberapa pilihan lokasi percutian menarik yang sesuai untuk anda. Senarai dibawah adalah antara pantai yang merupakan tempat percutian menarik yang boleh dikunjungi.

  1. Port Dickson - Terletak di Negeri Sembilan, Port Dickson merupakan lokasi percutian menarik yang tidak asing lagi. Maklumat lanjut mengenai aktiviti, tempat penginapan, makanan dan tempat menarik boleh dibaca di artikel Tempat menarik di Port Dickson untuk percutian keluarga.
  2. Batu Ferringhi - Terletak di utara tanahair iaitu di negeri Pulau Pinang, Batu Ferringhi adalah antara kawasan pantai yang telah lama terkenal sebagai salah satu tempat percutian yang menarik di Malaysia. Untuk maklumat lanjut, anda boleh membaca artikel Bercuti di Batu Ferringhi, Pulau Pinang.
  3. Desaru - Pantai menarik ini terletak di Kota Tinggi Johor. Tempat penginapan popular disini ialah Pulai Desaru Beach Resort dan Lotus Desaru Beach Resort.
  4. Cherating - Kawasan pantai yang sangat cantik ini terletak di Kuantan, Pahang. Pantai Cherating sentiasa menjadi tumpuan pelancong dan terdapat kemudahan penginapan menarik disediakan. Baca artikel Percutian menarik ke Cherating Pahang jika anda berminat untuk ke sana.
  5. Teluk Cempedak - Satu lagi pantai menarik di Kuantan, Pahang. Namun anda terpaksa menginap di hotel yang agak jauh sedikit iaitu di bandar Kuantan kerana hanya terdapat sebuah hotel ditepi pantai iaitu Hyatt Regency. Maklumat lanjut boleh dibaca di artikel Pantai Teluk Cempedak, Kuantan.
  6. Pantai Bisikan Bayu - Pantai peranginan yang popular di Kelantan. Resort menarik yang sesuai dijadikan tempat penginapan anda ialah di Tok Aman Bali Beach Resort.

Pantai Teluk Cempedak Kuantan.

Keterangan gambar: Pantai Teluk Cempedak Kuantan yang sangat cantik.

Tempat bersejarah di Malaysia

Percutian ke tempat bersejarah juga sesuai untuk keluarga. Banyak tempat menarik yang boleh dilawati seperti muzium, tempat bersejarah, kesan peninggalan sejarah dan lain-lain. Antara tempat percutian yang menarik di Malaysia untuk dilawati bagi melihat kesan sejarah ialah:

  • Melaka - Destinasi pelancongan paling popular untuk melawat tempat bersejarah di Malaysia. Melaka ialah lokasi strategik pelabuhan di Selat Melaka yang menjadi rebutan pada masa dahulu. Selepas zaman Kesultanan Melayu, Melaka dijajah oleh Portugis, Belanda dan British. Berbagai peninggalan sejarah boleh dilihat hingga ke hari ini.
  • Pulau Pinang - Negeri tempat percutian menarik yang terkenal dan juga salah satu tempat bersejarah di Malaysia. Terdapat banyak kesan peninggalan sejarah dan juga muzium di Pulau Pinang yang boleh dilawati jika anda bercuti ke sana.
  • Sabah - Negeri yang berada di bawah pemerintahan penjajah lebih seratus tahun ini masih mempunyai berbagai kesan peninggalan sejarah yang boleh dilawati. Keunikan budaya dan keindahan alam semulajadi turut menjadikan Sabah tempat menarik untuk bercuti bersama keluarga yang cukup ideal.

Setakat ini dahulu senarai tempat percutian menarik di Malaysia yang dapat kami sediakan untuk anda. Terdapat banyak lagi tempat pelancongan menarik lain tetapi kami memilih lokasi yang popular berdasarkan jenis percutian dan kemudahan penginapan yang disediakan.

Comments

3

Di Sabah pun tidak kurang juga hebatnya, tempat2 menariknya.
Welcome to Sabah...
Sabah ok bha.
Semporna ok bha..

Ianya sangat menyeronokkan, saya pernah pergi ke Pulau Pangkor, sangat best. Saya suka dan akan ke Pulau Langkawi pula cuti sekolah nanti.

wow menariknya, banyak rupanya kan tempat menarik kat malaysia yang boleh kita bercuti .. amat menarik .. lagi-lagi ke pulau atau pantai.. tenang je ...

Add new comment