Bercuti di Pulau Redang

Pulau Redang terkenal sebagai salah sebuah tempat pelancongan menarik di Malaysia. Air lautnya yang jernih, pasir pantai yang putih bersih dan berbagai spesis hidupan laut yang boleh dilihat tidak jauh dari persisiran pantai menjadi tarikan pelancong untuk bercuti di pulau ini. Percutian Bajet telah menyediakan maklumat asas sebagai panduan kepada pengunjung yang ingin merancang percutian ke Pulau Redang.

Lihat juga Panduan bercuti ke Pulau Perhentian.

Pantai dan resort menarik di Pulau Redang, Terengganu.

Keterangan gambar: Pemandangan pantai dan resort menarik di Pulau Redang.

Taman Laut Pulau Redang

Gugusan Pulau Redang terdiri daripada sembilan buah pulau iaitu:

  • Pulau Redang - Pulau terbesar yang menempatkan resort-resort untuk pelancong. Di pulau ini juga terdapat perkampungan nelayan yang terdiri dari lebih 200 keluarga.
  • Pulau Pinang - Pulau yang kedua terbesar. Di pulau ini terletaknya Pusat Taman Laut yang diuruskan oleh Jabatan Taman Laut Malaysia. Pulau Pinang ialah lokasi menarik untuk snorkeling dan scuba diving.
  • Pulau Ling - Terletak agak jauh dari Pulau Redang iaitu berhampiran Pulau Pinang. Pulai Ling ialah lokasi menarik untuk snorkeling dan scuba diving.
  • Pulau Ekor Tebu - Terletak agak jauh dari Pulau Redang iaitu berhampiran Pulau Ling. Pulau Ekor Tebu ialah lokasi menarik untuk snorkeling dan scuba diving.
  • Pulau Kerengga Besar - Terletak di persisiran pantai Teluk Kalong Besar. Pulau Kerengga Besar ialah lokasi menarik untuk snorkeling dan scuba diving.
  • Pulau Kerengga Kecil - Terletak di persisiran pantai Teluk Kalong Besar.
  • Pulau Paku Besar - Terletak di persisiran pantai Pasir Panjang. Pulau Paku Besar ialah lokasi menarik untuk snorkeling dan scuba diving.
  • Pulau Paku Kecil - Terletak di persisiran pantai Pasir Panjang.
  • Pulau Lima - Terletak di persisiran pantai Pasir Panjang. Pulau Lima ialah lokasi menarik untuk scuba diving.

Perairan di sekeliling pulau-pulau ini sejauh 2 batu nautika dari tikas air surut terendah dikenali sebagai Taman Laut Pulau Redang Malaysia. Selepas penubuhan taman-taman laut, perairan yang sama dikenali sebagai Kawasan Larangan Perikanan.

Peta Pulau Redang, Terengganu.

Keterangan gambar: Peta Pulau Redang. Klik gambar peta untuk melihat gambar yang lebih besar.

Lokasi Pulau Redang

Pulau Redang merupakan sebuah pulau pelancongan menarik yang terletak di negeri Terengganu. Lokasinya ialah di Laut China Selatan berhampiran perairan daerah Setiu, lebih kurang 45km ke utara-timur laut di luar pantai Kuala Terengganu. Lokasi GPS bagi Pulau Redang ialah 5° 44' - 5° 50' latitud Utara dan 102° 59' - 103° 5' Longitud Timur. Pelancong yang ingin bercuti di Pulau Redang boleh ke sana dengan beberapa cara iaitu:

  • Menaiki bot dari jeti Kampung Penarik di Merang, Setiu, Terengganu. Perjalanan mengambil masa lebih-kurang 40 minit untuk sampai ke Pulau Redang.
  • Menaiki bot dari Jeti Shahbandar di Kuala Terengganu. Perjalanan mengambil masa lebih-kurang 1 jam 50 minit untuk tiba di Pulau Redang.
  • Menaiki penerbangan Berjaya Air dari Lapangan Terbang Subang, Kuala Lumpur atau Singapura terus ke Pulau Redang.
Taman Laut Pulau Redang yang terletak di Pulau Pinang.

Keterangan gambar: Pemandangan dari atas Taman Laut Pulau Redang yang terletak di Pulau Pinang iaitu salah sebuah dari gugusan pulau di Pulau Redang.

Sejarah Pulau Redang

Penduduk asal Pulau Redang dikatakan dari keturunan Bugis yang datang dari Indonesia. Terdapat beberapa fakta sejarah Pulau Redang iaitu:

  • Pulau Redang ada dicatatkan oleh Munshi Abdullah pada tahun 1851.
  • Perairan berhampiran Pulau Redang merupakan tempat berkuburnya dua buah kapal sejarah iaitu H.M.S Prince of Wales dan H.M.S Repulse yang karam semasa Perang Dunia Kedua.
Sungai dari Pulau Redang turun ke laut.

Keterangan gambar: Pemandangan sungai yang mengalir ke pantai dari Pulau Redang semasa musim hujan.

Keistimewaan Pulau Redang

Keindahan Pulau Redang merupakan tarikan utama pelancong ke pulau peranginan ini. Keistimewaan lain di Pulau Redang ialah:

  • Berbagai aktiviti pelancongan disediakan seperti snorkeling dan scuba diving.
  • Tapak pemuliharaan penyu.

Tempat menarik di Pulau Redang

Ada beberapa tempat menarik di Pulau Redang yang boleh dikunjungi pelancong antaranya:

  • Pantai Pasir Panjang - Ia adalah pantai yang paling besar di Pulau Redang. Pantai Pasir Panjang sesuai untuk snorkeling.
  • Teluk Kalong - Terdiri dari Teluk Kalong Kechil dan Teluk Kalong Besar. Pantai Teluk Kalong Besar sesuai untuk mandi laut dan berenang.
  • Teluk Dalam - Pantai Teluk Dalam sesuai untuk mandi laut dan berenang.
  • Pasir Mak Simpan - Tempat menarik untuk snorkeling.
  • Pasir Mak Kepit - Tempat menarik untuk snorkeling.
  • Teluk Bakau.
Pasir Panjang di Pulau Redang adalah salah satu tempat menarik untuk aktiviti snorkeling.

Keterangan gambar: Pemandangan pesisir pantai Pasir Panjang yang merupakan salah satu destinasi menarik untuk aktiviti snorkeling di Pulau Redang.

Aktiviti menarik di Pulau Redang

Percutian ke pulau redang tidak akan sempurna jika tidak melakukan aktiviti menarik yang disediakan untuk pelancong yang berkunjung ke pulau ini. Terdapat beberapa aktiviti menarik yang boleh dilakukan di Pulau Redang seperti:

  • Snorkeling - Aktiviti utama dan paling menarik untuk dilakukan jika bercuti di Pulau Redang. Terdapat beberapa tempat menarik untuk snorkeling seperti di Taman Laut Pulau Redang di Pulau Pinang dan juga beberapa tempat lain disekitar Pulau Redang.
  • Mandi laut.
  • Bermain bola tampar pantai.
  • Jungle trekking.
  • Melihat matahari terbit.
  • Scuba diving.
  • Berkayak.
  • Memancing - Pengunjung perlu mengambil pakej memancing di luar pantai Pulau Redang kerana memancing di sekitar pulau ini adalah tidak dibenarkan.
Snorkeling atau diving melihat pemandangan dasar laut yang menarik di Pulau Redang.

Keterangan gambar: Aktiviti snorkeling dan scuba diving untuk melihat pemandangan menarik dalam laut sekitar Pulau Redang.

Resort menarik di Pulau Redang

Pulau Redang adalah sebuah pulau yang sangat cantik dan mempunyai resort-resort menarik yang menawarkan pelbagai aktiviti untuk pelancong yang mengunjungi pulau ini. Pengunjung yang ingin bercuti ke Pulau Redang perlu mengambil pakej yang disediakan oleh resort-resort yang terdapat disini. Tiada "walk in" resort di pulau ini. Antara resort yang popular di Pulau Redang ialah:

  • Redang Pelangi Resort - Terletak di Pasir Panjang. Redang Pelangi Resort menawarkan berbagai pakej penginapan termasuk makanan serta aktiviti pelancongan di Pulau Redang seperti snorkeling dan scuba diving kepada pengunjung.
  • Redang Lagoon Chalet - Terletak di Pasir Panjang. Redang Lagoon Chalet menyediakan 30 bilik penginapan serta aktiviti pelancongan seperti scuba diving kepada pelancong.
  • Redang Pelangi Chalet - Dahulunya dikenali dengan nama Ayu Mayang Resort. Redang Pelangi Chalet terletak di Pasir Panjang.
  • Redang Bay Resort - Terletak di Pasir Panjang. Redang Lagoon Chalet menyediakan 76 bilik penginapan dengan kemudahan seperti kolam renang, restoran serta aktiviti pelancongan seperti snorkeling dan scuba diving kepada pelancong.
  • Sari Pacifica Hotel, Resort & Spa - Terletak di Pasir Panjang. Sari Pacifica Hotel, Resort & Spa menyediakan 70 villa dengan kemudahan seperti wifi, kolam renang, restoran, spa serta aktiviti pelancongan seperti snorkeling dan scuba diving kepada pelancong.
  • Redang Mutiara Beach Resort - Terletak di Teluk Kalong. Redang Mutiara Beach Resort menyediakan berbagai pakej menarik untuk pengunjung.
  • Redang Kalong Resort - Terletak di Teluk Kalong. Redang Kalong Resort mempunyai 39 bilik untuk pelancong, kemudahan wifi dan berbagai pakej menarik di Pulau Redang.
Pemandangan dari Berjaya Resort Pulau Redang.

Keterangan gambar: Pemandangan pantai dan resort menarik dari hotel Berjaya Resort Pulau Redang (sekarang Taaras Beach & Spa Resort).

Bagi pelancong yang inginkan percutian hebat, berikut ialah senarai resort mewah yang terdapat di Pulau Redang:

  • Taaras Beach & Spa Resort - Dahulunya Berjaya Redang Beach Resort. Terletak di Teluk Dalam, resort ini menyediakan 183 bilik untuk pengunjung dan lima bilik tidur Private Villa menakjubkan terletak tinggi di atas tebing yang menghadap lautan.
  • Coral Redang Island Resort - Terletak di Pasir Panjang. Coral Redang Island Resort menyediakan 40 chalet dan bilik dengan kemudahan seperti kolam renang, restoran serta aktiviti pelancongan seperti snorkeling dan scuba diving kepada pelancong.
  • Laguna Redang Resort - Terletak di Pasir Panjang. Laguna Redang Resort menyediakan 222 bilik dengan kemudahan seperti kolam renang, restoran, kedai cenderahati serta aktiviti pelancongan seperti snorkeling dan scuba diving kepada pelancong.
  • Redang Beach Resort - Terletak di Pasir Panjang. Redang Beach Resort menyediakan 129 bilik dengan kemudahan seperti kolam renang, restoran, cafe serta aktiviti pelancongan seperti snorkeling dan scuba diving kepada pelancong.
Pantai Pasir Panjang di Pulau Redang.

Keterangan gambar: Pemandangan pantai Pasir Panjang di Pulau Redang yang sangat menarik.

Ada pilihan bagi pelancong yang inginkan percutian bajet ke Pulau Redang iaitu dengan cara mengambil pakej perkhemahan yang terdapat di Taman Laut Pulau Redang di Pulau Pinang dan juga di tapak perkhemahan di Teluk Kelong.

Jambatan di Pulau Redang.

Keterangan gambar: Jambatan kayu untuk pejalan kaki di tepi pantai Pulau Redang.

Bercuti ke Pulau Redang pasti memberikan kepuasan kepada sesiapa sahaja yang ingin keluar dari kesibukan kota dan merehatkan minda dari bebanan kerja. Keindahan Pulau Redang dan aktiviti menarik yang disediakan pasti memberi pengalaman indah yang membuatkan anda ingin kembali lagi ke sini.

Lokasi