Bercuti di Pulau Tenggol Dungun Terengganu

Pulau Tenggol adalah salah sebuah lokasi pulau peranginan yang terletak di perairan Terengganu. Ia agak kurang terkenal berbanding pulau lain seperti Pulau Kapas, Pulau Redang atau Pulau Perhentian. Pulau yang pada asalnya tidak berpenghuni ini kini menjadi salah satu destinasi pelancongan setelah dimajukan dan didirikan resort untuk penginapan pelancong. Tarikan utama pelancong ke Pulau Tenggol ialah untuk aktiviti scuba diving. Terdapat banyak lokasi menyelam di sekitar perairan pulau ini yang mempunyai tarikan tersendiri seperti melihat kapal karam, penyu dan ikan Yu Paus yang amat jarang ditemui. Bagi peminat snorkeling yang ingin bercuti di Pulau Tenggol Dungun ini, anda boleh melihat berbagai hidupan laut dan coral lembut termasuk nudibranch dan clownfish.

Lihat semua lokasi menarik untuk bercuti di artikel: Senarai tempat menarik untuk percutian di Terengganu.

Nota: Pulau Tenggol ditutup semasa musim tengkujuh iaitu sekitar bulan November hingga Februari setiap tahun. Ini kerana ombak besar dan hujan ribut melanda pantai timur dan semua perkhidmatan feri terpaksa dihentikan.

Pulau Tenggol Dungun.

Lokasi dan Pengangkutan

Pulau Tenggol terletak diperairan pantai daerah Dungun. Pelancong yang ingin ke Pulau Tenggol boleh menaiki bot di jeti bot ekspress baru yang terletak di tepi jambatan Kuala Dungun. Perjalanan bot adalah terhad. Untuk ke Pulau Tenggol dengan pengangkutan awam, anda boleh menaiki bas ekspress ke Dungun.

  1. Jika tiada perkhidmatan bas terus ke Dungun dari tempat anda, anda boleh ke Kuala Terengganu atau Kuantan - Bergantung pada lokasi terhampir dengan anda.
  2. Kemudian ambil bas atau teksi untuk ke Dungun (atau jeti Dungun).
  3. Menaiki bot laju ke Pulau Tenggol. Perjalanan lebih kurang 45 minit untuk sampai ke destinasi.

Aktiviti di Pulau Tenggol

Pulau Tenggol bukanlah sebuah pulau yang besar. Tiada pekan mahupun kampung nelayan. Apa yang menarik di pulau ini ialah persisiran pantainya yang cantik. Aktiviti di Pulau Tenggol lebih kepada melihat keindahan dasar lautnya yang benar-benar mengagumkan. Sekiranya anda ingin bercuti di Pulau Tenggol, berikut ialah antara aktiviti yang boleh dilakukan.

Menyelam di Pulau Tenggol

Aktiviti menyelam di Pulau Tenggol (scuba diving) bermula dari 1 Mac hingga 31 Oktober setiap tahun. Terdapat banyak lokasi menarik diperairan di Pulau Tenggol dan juga pulau-pulau kecil berhampiran. Antara hidupan laut yang menarik boleh ditemui disini ialah coral lembut, nudibranch, seaweed, batfish, penyu laut, Napoleon Wrasse, clownfish (nemo) dan yu paus.

Terdapat lebih 20 lokasi menyelam yang dapat memberi pengalaman menarik pada anda. Antara lokasi yang ada di Pulau Tenggol ialah:

  1. Amazing Grace
  2. Coral Garden
  3. Mini Highway
  4. Pulau Nyireh
  5. Tokong Timor
  6. Tokong Talang
  7. Tokong Burung
  8. Teluk Rajawali
  9. Teluk Air Tawar
  10. Batu Chachang
  11. Tanjung Gemok

Green Sea Turtle.

Aktiviti lain yang boleh dilakukan selain menyelam ialah:

  1. Snorkeling - Melihat kecantikan coral dan hidupan laut di kawasan laut yang cetek.
  2. Mandi laut di pantai berpasir yang jernih airnya.
  3. Berehat, bersantai, membaca novel di Pulau Tenggol yang cukup sunyi dan mendamaikan.
  4. Bersiar-siar di tepi pantai yang cantik, bersih, berpasir halus dan air laut yang sangat jernih.

Clown fish atau lebih dikenali sebagai nemo.

Penginapan di Pulau Tenggol

Pulau Tenggol bukanlah pulau percutian yang besar dan membangun seperti Pulau Redang atau Pulau Perhentian. Tiada hotel atau resort ternama membarisi pantai di pulau ini. Jika ingin bercuti di Pulau Tenggol, hanya terdapat dua buah resort yang boleh anda pilih iaitu:

  1. Tenggol Coral Beach Resort - Dahulunya dikenali sebagai Aqua Tenggol Resort. Ia merupakan Dive Center paling besar di pulau ini. Kemudahan yang disediakan di resort ini ialah 20 buah chalet yang dilengkapi penghawa dingin, kipas, bilik mandi berserta hot shower dan restoran.
  2. Tenggol Island Beach Resort - Satu lagi Dive Center yang terdapat di pulau ini. Kemudahan yang disediakan di resort ini ialah Penghawa dingin, kipas, bilik mandi berserta hot shower dan restoran. Hanya terdapat 9 buah chalet sahaja.

Tenggol Coral Beach Resort.

Disebabkan tempat penginapan yang terhad, pastikan anda menghubungi resort terlebih dahulu dan tempah penginapan anda lebih awal untuk bercuti di Pulau Tenggol.

Kemudahan asas yang terdapat di Pulau Tenggol ialah:

  1. Elektrik - Dari generator yang terdapat di resort.Generator akan ditutup pada pukul 11 pagi hingga 5 petang.
  2. Air - Dari punca air yang terdapat di Pulau Tenggol. Air minuman di resort biasanya dibawa dari tanah besar.
  3. Wifi dan Internet - Bergantung pada cuaca lantaran pulau yang terletak jauh di tengah laut.

Makanan

Tiada kedai makan untuk pelancong di pulau ini melainkan restoran di resort khas untuk pengunjung yang menginap sahaja. Bagi pengunjung yang mengambil pakej day trip, biasanya makanan tengahari disediakan. Selainnya, anda perlu sediakan bekalan makanan anda sendiri. Pastikan anda membawa makanan dan minuman yang secukupnya.

Pakej Pulau Tenggol

Terdapat beberapa pakej Pulau Tenggol yang ditawarkan oleh agensi pelancongan dan juga yang disediakan oleh resort yang terdapat di sana seperti:

  1. Pakej Diving - Pakej penginapan dan aktiviti diving.
  2. Pakej Snorkeling - Pakej penginapan termasuk aktiviti snorkeling.
  3. Pakej Kursus - Pakej kursus PADI dive, Open Water dan Advance Open Water.

Pakej penginapan dan snorkeling 2 Hari 1 Malam.

  1. Minima 4 orang peserta.
  2. 1 kali boat trip.
  3. Tiket feri pergi balik.
  4. Satu malam penginapan.
  5. Makanan.
  6. Harga pakej bermula dari RM250 hingga RM1,630 bergantung kepada jenis bilik dan hari cuti.

Pakej penginapan dan snorkeling 3 Hari 2 Malam.

  1. Minima 4 orang peserta.
  2. 2 kali boat trip.
  3. Tiket feri pergi balik.
  4. Dua malam penginapan.
  5. Makanan.
  6. Harga pakej bermula dari RM450 hingga RM1,860 bergantung kepada jenis bilik dan hari cuti.

Pakej penginapan dan snorkeling 4 Hari 3 Malam.

  1. Minima 4 orang peserta.
  2. 3 kali boat trip.
  3. Tiket feri pergi balik.
  4. Tiga malam penginapan.
  5. Makanan.
  6. Harga pakej bermula dari RM640 hingga RM2,100 bergantung kepada jenis bilik dan hari cuti.

Sekiranya anda berminat untuk mendapatkan pakej Pulau Tenggol, sila lawati laman web resort berkenaan untuk mendapatkan maklumat lengkap. Untuk pakej day trip pula, terdapat beberapa operator yang menyediakan perkhidmatan tersebut dimana pelancong akan dibawa ke Pulau Tenggul untuk scuba diving di Teluk Air Tawar, Rajawali, Tokong Batu, Tokong Timur serta Tanjung Gemuk. Peralatan scuba diving boleh disewa atau dibawa sendiri oleh pengunjung. Harga pakej day trip ialah lebih kurang RM130- RM160 seorang atau anda boleh menyewa bot dengan harga RM600-650 sehari.

Nota: Untuk melihat semua destinasi pelancongan menarik yang ada di negeri ini, sila ke halaman Tempat menarik di Terengganu.

Pulau Tenggol adalah lokasi yang sangat menarik untuk peminat scuba diving. Laut di sana sangat jernih dan mempunyai berbagai jenis hidupan laut serta coral yang cantik. Sekiranya anda sekadar ingin melihat kecantikan pulau dan melakukan aktiviti menyelam, pakej daily trip sudah memadai. Namun terpulang pada anda.

Comments

1

Adakah resort membekalkan service chinese speaking ?

Add new comment