Tempat menarik di Terengganu

Berbagai tempat menarik di Terengganu boleh dilawati terutama destinasi percutian alam semulajadi seperti pantai peranginan, air terjun, hutan lipur dan gunung. Ia adalah salah satu destinasi percutian popular di Malaysia. Tarikan utama pelancongan negeri ini ialah pulau-pulaunya yang sangat cantik. Di tanah besar pula, Tasik Kenyir menjadi destinasi percutian popular pelancong yang ingin menikmati keindahan alam semulajadi. Percutian Bajet telah mengumpulkan tempat-tempat menarik di Terengganu mengikut jenis pelancongan sebagai panduan kepada pengunjung yang ingin merancang percutian ke sana.

Untuk melihat destinasi percutian, sila ke halaman Tempat percutian menarik di Terengganu.

Daerah dan Bandar di Terengganu

Sebelum itu mari kita kenali serba sedikit tentang negeri Terengganu Darul Iman. Ia terletak di pantai timur dan bersempadan dengan negeri Kelantan di sebelah utara dan negeri Pahang di selatan. Bahagian timurnya menghadap Laut China Selatan. Terengganu adalah negeri yang agak luas terbahagi kepada 8 daerah iaitu:-

  • Besut
  • Setiu
  • Hulu Terengganu
  • Kuala Nerus
  • Kuala Terengganu
  • Marang
  • Dungun
  • Kemaman
Bazaar Warisan Kuala Terengganu.

Keterangan gambar: Bazaar Warisan merupakan salah satu tempat menarik di Kuala Terengganu.

Bandar-bandar utama di Terengganu adalah:

  • Kuala Terengganu - Ibu negeri dikenali sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air.
  • Gong Badak - Kawasan perindustrian.
  • Chukai
  • Jerteh
  • Dungun
  • Kuala Berang
  • Marang
  • Bandar Permaisuri
  • Kampung Raja

Terengganu mempunyai jalinan jalanraya yang baik menghubungkan bandar-bandar utama di Terengganu. Faktor ini turut membantu menaikkan sektor pelancongan di negeri Penyu ini.

Tempat menarik di Kuala Terengganu

Kuala Terengganu sebagai ibu negeri Terengganu mempunyai banyak tempat menarik yang boleh dilawati. Terletak di lokasi strategik iaitu di tepi pantai dan juga muara Sungai Terengganu, bandar ini cukup cantik dan menjadi pilihan utama lokasi penginapan pelancong selain dari resort di pantai peranginan. Buat pengunjung yang ingin kesana, dibawah ialah senarai tempat menarik di Kuala Terengganu yang boleh dilawati:

  • Bukit Panorama - Kawasan rekreasi menarik di Kuala Terengganu. Pengunjung boleh melihat penorama indah bandar Kuala Terengganu dari puncak bukit ini. Di puncak Bukit Panorama juga terdapat restoran yang menyajikan berbagai jenis makanan termasuk masakan barat.
  • Muzium Negeri Terengganu - Sebuah muzium yang besar terdiri dari Muzium Utama, Muzium Maritim dan Muzium Perikanan. Diperkarangan muzium ini terdapat rumah-rumah tradisional yang dihiasi dengan lanskap yang sangat menarik. Manakala didalam muzium pula terdapat banyak galeri untuk dilawati seperti:
    1. Galeri Islam.
    2. Galeri Tekstil.
    3. Galeri Diraja.
    4. Galeri Sejarah.
    5. Galeri Kraf.
    6. Galeri Petroleum.
    7. Galeri Sumber Alam dan Ekonomi.
    8. Galeri Taman Laut dan Perikanan.
    9. Galeri Pelayaran dan Perdagangan.
  • Taman Monumen, Taman Tamadun Islam - Mengandungi replika masjid-masjid terkenal seluruh dunia. Lihat artikel Melawat Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu
  • Masjid Kristal - Masjid Kristal yang terletak di Kuala Terengganu ini mempunyai rekabentuk yang sangat menarik. Ia dinamakan Masjid Kristal kerana selain besi, ia dibina dengan kristal. Lihat artikel Masjid Kristal Kuala Terengganu
  • Masjid Terapung - Nama masjid ini ialah Masjid Tengku Tengah Zaharah.
  • Dataran Shahbandar - Ia merupakan tempat bersantai menarik di Kuala Terengganu. Terletak di muara Sungai Terengganu, pengunjung boleh melihat pemandangan menarik bot-bot nelayan yang ditambat berderetan ditebing sungai. Disini juga terdapat banyak kedai makan yang dibuka dari petang hingga ke malam.
  • Pasar Besar Kedai Payang - Terletak di Kuala Terengganu, ia adalah tumpuan pelancong yang ingin membeli-belah produk asli dari Terengganu. Terdapat berbagai barangan dijual disini seperti pakaian, makanan, kuih tradisional, kain batik, songket Terengganu dan bermacam-macam lagi. Pasar ini terdiri dari bangunan dua tingkat dimana bahagian bawah menjual makanan kering dan basah seperti ikan segar, ayam, daging, sayur-sayuran, buah-buahan dan sebagainya. Ditingkat atas pula terdapat pakaian, batik, songket dan gerai makanan.
  • Bukit Puteri - Terletak di Kuala Terengganu. Lokasinya menarik menghala ke Sungai Terengganu. Ia adalah tempat bersejarah yang pernah dijadikan kota pertahanan dizaman dahulu. Berbagai kisah menarik mengenai Bukit Puteri ini seperti kisah puteri bunian yang tinggal disini dan memberi pinjam pinggan-mangkuk kepada penduduk untuk majlis keramaian, kisah perang saudara kerana merebut takhta dan lain-lain. Diatas bukit ini terdapat beberapa artifek silam peninggalan sejarah seperti meriam, genta, rumah api, makam dan tiang bendera.
  • Waterfront - Taman rekreasi yang menghadap Kuala Terengganu. Pengunjung boleh bersantai melihat pemandangan menarik Pulau Duyung dan bot-bot nelayan yang melalui kuala sungai. Terdapat pondok-pondok untuk bersantai, gerai makanan dan tandas untuk kemudahan pelancong.
  • Kampung Cina, Kuala Terengganu.
  • Kompleks Kraf Noor Arfa.
  • Pulau Warisan - i-City Terengganu.

Lihat artikel: Tempat menarik di Kuala Terengganu untuk dilawati.

Pemandangan menarik Masjid Kristal di Kuala Terengganu.

Keterangan gambar: Masjid Kristal merupakan salah satu tempat menarik di Terengganu.

Pantai di Terengganu

Tidak sempurna percutian ke Terengganu jika tidak mengunjungi pantainya yang terkenal. Ada banyak pantai cantik yang boleh dikunjungi. Bagi pelancong dari pantai barat Malaysia yang pertama kali ke Terengganu mungkin akan terkejut dengan bunyi ombak yang menghempas pantai. Ombak di pantai timur lebih besar kerana pantai di sana menghadap laut lepas iaitu Laut China Selatan jadi bunyinya lebih kuat. Lautnya membiru dan pasir pantainya pula bersih. Dibawah ini ialah senarai pantai di Terengganu yang boleh anda kunjungi:

  • Pantai Batu Buruk - Kuala Terengganu.
  • Pantai Tok Jembal - Kuala Terengganu.
  • Pantai Teluk Ketapang - Kuala Terengganu.
  • Pantai Airport - Kuala Terengganu.
  • Pantai Mengabang Telipot - Kuala Terengganu.
  • Pantai Kuala Ibai - Kuala Terengganu.
  • Pantai Rantau Abang - Pusat penetasan penyu. Terletak di Dungun.
  • Pantai Sura Jetty - Dungun.
  • Pantai Teluk Bidara - Dungun.
  • Pantai Merang - Setiu.
  • Pantai Penarik - Permaisuri.
  • Pantai Bukit Kluang - Besut.
  • Pantai Kemasik - Kemaman.
  • Pantai Kelulut - Marang

Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Keterangan gambar: Pemandangan menarik salah sebuah pantai di Terengganu.

Pantai-pantai yang cantik di Terengganu menjadi lokasi pelancong untuk bersantai, makan-makan dan berehat sambil menikmati penorama indah ditepi laut. Disebabkan ombak laut yang kuat dan struktur pantai yang kurang selamat, pelancong dilarang mandi disesetengah pantai. Walau bagaimanapun, terdapat pantai yang boleh mandi di Terengganu seperti Pantai Pandak di Chendering, pantai Teluk Bidara, pantai Merang, pantai Rantau Abang, pantai Tol Jembal, Pantai Bukit Keluang dan Pantai Rhu 10 di Setiu.

Pulau menarik di Terengganu

Semua orang sukakan pemandangan yang cantik. Keindahan pantai berpasir yang bersih, pohon rhu dan nyior yang melambai, air laut yang jernih dan membiru dikejauhan, semua itu boleh dinikmati di pulau-pulau yang terdapat di Terengganu. Percutian ke pulau ini sangat sesuai bagi pasangan yang baru mendirikan rumahtangga untuk berbulan madu kerana suasana yang romantik dan sunyi pasti mencipta kenangan manis hingga ke akhir hayat. Bagi yang minat menyelam dan menikmati keindahan dasar laut, pulau-pulau ini merupakan lokasi pilihan untuk aktiviti snorkeling dan juga scuba diving. Dibawah ini ialah senarai pulau yang menarik untuk dikunjungi di Terengganu:

  • Pulau Kapas - Salah sebuah taman laut yang tercantik di Malaysia. Ia dinamakan Pulau Kapas kerana pasir pantainya yang putih seperti kapas. Air lautnya jernih dan alam semulajadinya masih belum tercemar. Resort dan chalet turut disediakan di pulau peranginan ini. Pelancong yang ingin ke sini boleh menaiki bot dari Marang. Perjalanan mengambil masa kira-kira 15 minit sahaja. Lihat artikel: Bercuti ke Pulau Kapas, Terengganu untuk maklumat lanjut.
  • Pulau Perhentian - Pulau ini mendapat nama kerana sering dijadikan tempat persinggahan kapal-kapal garam dari Singgora ke Terengganu. Ia juga dijadikan tempat nelayan berlindung dari gelora ombak besar dan angin kencang. Lantaran itu ia dipanggil Pulau Perhentian.Tarikan pelancong ke pulau ini ialah kecantikan pemandangan dalam lautnya serta aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan seperti snorkeling, scuba diving, jet ski dan lain-lain. Lihat artikel: Bercuti ke Pulau Perhentian.
  • Pulau Redang - Sebuah lagi pulau menarik di Terengganu yang diwartakan sebagai Taman Laut negara. Pulau Redang menjadi destinasi popular pelancong dalam dan luar negara kerana pulaunya yang cantik, air yang jernih dan pantai yang bersih. Pantai yang terkenal di Pulau Redang ialah pantai Pasir Panjang. Di tepi laut Pulau Redang ini bersemadi dua buah kapal bersejarah iaitu H.M.S. Prince of Wales dan H.M.S. Repulse semasa perang dunia kedua. Anda boleh menaiki bot dari Marang atau Kuala Terengganu untuk ke pulau ini. Lihat artikel: Bercuti di Pulau Redang untuk maklumat lanjut.
  • Pulau Lang Tengah - Salah satu pulau yang ada di Terengganu.
  • Pulau Gemia - Pulau persendirian yang terletak berhampiran Pulau Kapas, Terengganu. Pulau percutian yang berkonsepkan satu resort satu pulau.
  • Pulau Rhu Hentian - Antara pulau yang ada di Terengganu. Semakin popular untuk aktiviti berkayak dan snorkeling.
  • Pulau Tenggol - Sebuah pulau di Terengganu yang mempunyai banyak lokasi menyelam menarik. Untuk maklumat lanjut anda boleh baca di halaman Bercuti di Pulau Tenggol Dungun Terengganu.
  • Pulau Bidong - Sebuah pulau kecil yang terletak di perairan Terengganu.
Pantai yang cantik dan menarik di Pulau Redang, Terengganu.

Keterangan gambar: Pulau Redang adalah salah satu tempat menarik di Terengganu yang menjadi tumpuan pelancong dari luar negara.

Bukit dan Gunung

Jika pulau dan pantai adalah tempat untuk berehat dan menenangkan jiwa, bukit dan gunung pula untuk rekreasi dan menikmati keindahan alam semulajadi. Jika anda sukakan aktiviti luar yang lebih mencabar seperti jungle tracking, mendaki gunung dan berkhemah, di Terengganu ada beberapa destinasi menarik eko-pelancongan yang menjadi tumpuan ramai.

  • Bukit Kapal
  • Bukit Patang
  • Gunung Tebu
  • Gunung Lawit
  • Gunung Gajah Terom

Air Terjun di Terengganu

Keindahan alam semulajadi yang mempersonakan, air yang sejuk dan udara yang nyaman boleh dirasai di kawasan peranginan air terjun. Negeri Terengganu mempunyai banyak air terjun menarik yang boleh anda kunjungi. Antara air terjun menarik yang ada di terengganu ialah:

  • Air Terjun Sekayu - Terletak di Taman Pelancongan Sekayu, Hulu Terengganu. Air terjun yang sangat cantik ini adalah salah satu tempat menarik di Terengganu yang paling popular. Airnya jernih dan dingin menyegarkan. Ia menjadi tumpuan pelancong luar yang datang ke Terengganu dan juga merupakan tempat perkelahan dan rekreasi penduduk setempat di hujung minggu.
  • Lata Tembakah - Terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Pelagat dalam daerah Besut. Lata Tembakah mempunyai tujuh tingkat air terjun yang cantik. Ia mempunyai kolam-kolam semulajadi yang banyak, airnya dingin dan jernih menjadikan ia tempat popular untuk mandi manda.
  • Hutan Lipur Chemerong
  • Air Terjun Lata Payung
  • Belukar Bukit
  • Lata Belatan
  • Air Terjun Saok, Tasik Kenyir.
  • Air Terjun Lasir, Tasik Kenyir.
  • Air Terjun Sungai Buweh, Tasik Kenyir.
  • Air Terjun Tambat, Tasik Kenyir.
  • Air Terjun Pertam, Tasik Kenyir.

Tasik di Terengganu

Terengganu mempunyai sebuah tasik yang sangat popular di Malaysia iaitu Tasik Kenyir. Ia adalah sebuah empangan janakuasa elektrik yang mempunyai kawasan takungan air seluas 38,000 hektar. Terletak di kawasan barat Hulu Terengganu, kira-kira 55 KM dari bandar Kuala Terengganu. Tasik Kenyir sangat popular sebagai tempat memancing. Berbagai spesis ikan air tawar boleh didapati disini. Tasik Kenyir juga terdapat banyak air terjun menarik seperti yang telah disenaraikan diatas. Antara aktiviti lain yang boleh dilakukan disini ialah berkelah, berakit dan merentas hutan melihat keindahan alam semulajadi yang kaya dengan flora dan fauna.

Tasik Kenyir Terengganu.

Keterangan gambar: Tasik Kenyir merupakan salah satu tempat menarik di Terengganu yang unik dan mendamaikan.

Tempat menarik lain di Terengganu

Akhir sekali, jangan lupa untuk memasukkan senarai dibawah sebagai tempat menarik di Terengganu untuk dilawati kedalam percutian bajet anda. Ia adalah lokasi pelancongan yang sering menjadi tumpuan pelancong yang berkunjung ke sana.

  • Taman Awam Lagun Kuala Ibai.
  • La Hot Spring yang terletak di daerah Besut
  • Kawasan rekreasi Telaga Simpul yang terletak di daerah Kemaman.
  • Zoo Kemaman.
  • Setiu Wetland.
  • Kampung Budaya Terrapuri yang terletak di daerah Setiu.

Kebudayaan dan Warisan Terengganu

Terengganu terkenal dengan kebudayaannya yang tersendiri. Antara kebudayaan yang ada di Terengganu ialah:

  • Ulit Anak - Ia adalah nyanyian tradisi yang dilagukan dalam upacara kelahiran atau bercukur rambut. Lagunya pula mengisahkan Nabi Muhammad S.A.W dan sahabat baginda serta para rasul yang lain. Ia dilagukan dengan merdu tanpa iringan sebarang alat muzik.
  • Nazam dan Naban.
  • Marhaban, nasyid dan qasidah.
  • Dikir Pahang, Rebana dan Maulud - Diiringi paluan kompang atau rebana.
  • Hadrah, Beduan, dikir barat, Ghazal.
  • Permainan gasing dan wau.
  • Tenun songket dan batik.
  • Seni ukiran kayu.
  • Seni penghasilan tembikar.
  • Tarian Ulek Mayang - Dahulunya merupakan satu acara dalam Pesta Pantai.

Homestay di Terengganu

Kebudayaan dan adat-resam orang melayu Terengganu boleh dilihat secara dekat dengan mengikuti program homestay yang disediakan oleh kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan Malaysia. Di homestay ini terdapat program dan acara yang telah dirancang seperti persembahan kebudayaan, adat dan budaya seperti merisik, bertunang dan perkahwinan, aktiviti keagamaan, sukan tradisional, permainan tradisional serta bermacam-macam lagi. Bagi mengetahui tentang semua program yang diatur, masa dan jumlah penyertaan, pengunjung boleh menghubungi penyelaras homestay terbabit.

Antara homestay yang ada di Terengganu ialah:

  • Homestay Kg. Pasir Raja - Hubungi En. Ramli Yunuss, 09-833 1502.
  • Homestay Kampung Rhu 10, Setiu - Hubungi Puan Fauziah, 013-475 5611.
  • Homestay Kampung Teluk Ketapang, Kuala Terengganu - Hubungi En. Kamal (Pengurus), 013-9344 181.
  • Homestay Kampung Buloh, Hulu Terengganu - Hubungi En. Ismail Bin Mat Zain, 013-902 5402.
  • Homestay Felda Selasih, Jerteh - Hubungi En. Musatafa b. Jusoh, 017-9010 482.
  • Homestay Kg. Pulau Duyong, Kuala Terengganu - Hubungi En. Hasruddin, 012-928 8007.
  • Homestay Jerangau , Bukit Besi - Hubungi Tuan Haji Mohamad bin Jusoh, 019-9344239.
  • Homestay Felcra Keruak, Jerteh - Hubungi En. Jusoh bin Chik, 012-9599833.

Makanan tradisional

Salah satu aktiviti menarik apabila melancong ialah menikmati juadah tradisional masyarakat tempatan. Terengganu ada berbagai makanan yang enak. Ada beberapa jenis makanan hampir sama dengan apa yang ada di negeri Kelantan tetapi sedikit berbeza dari segi rasanya. Jika bercuti ke Terengganu jangan lupa merasa makanan yang kami senaraikan dibawah:

  • Keropok Lekor
  • Budu
  • Nasi Dagang
  • Ketupat Sotong
  • Tahi Itik
  • Akok
  • Brolok Sagu

Keistimewaan Terengganu

Songket Terengganu tidak seperti songket lain dari Indonesia, kemboja atau lain-lain. Songket Terengganu amat halus buatannya dan sangat bermutu. Lantaran itu, Kerajaan Negeri Terengganu telah menegaskan larangan terhadap songket keluaran lain dijual di Pasar Besar Kedai Payang bagi memelihara nama songket Terengganu. Pengusaha songket terkenal di Terengganu ialah Nor Atikah Songket.

Sesuatu yang tidak dapat dilupakan ialah Batu Bersurat. Batu Bersurat ini boleh dilihat jika anda mengunjungi Muzium Negeri Terengganu. Ia merupakan bahan sejarah penting yang tidak ternilai. Batu Bersurat ialah sebuah batu yang diukir dengan tulisan jawi menerangkan undang-undang seorang raja. Perkara penting yang dicatatkan pada batu ini ialah tentang hukum hakam dan larangan dalam Islam. Batu Bersurat ditemui pada tahun 1887 di tepi Sungai Tara, di Kampung Buluh, Hulu Terengganu. Penemuan Batu Bersurat ini membuktikan bahawa Terengganu adalah negeri terawal menerima kedatangan Islam di Tanah Melayu. Ia juga menunjukkan bahawa telah wujud sebuah kerajaan Islam dan undang-undang Islam telah digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan pada waktu itu.

Penginapan di Terengganu

Jika anda ingin bercuti ke Terengganu, banyak tempat penginapan seperti hotel dan resort menarik yang ada di bandar Kuala Terengganu dan kawasan-kawasan pelancongan popular. Begitu juga di pulau-pulau peranginan seperti Pulau Kapas, Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

Untuk melihat potongan harga hotel dan resort di Terengganu, anda boleh menyemak serta menempah bilik penginapan terus melalui atas talian di BOOKING.COM.

Terdapat banyak lagi tarikan pelancongan dan tempat menarik di Terengganu yang tidak sempat disenaraikan disini. Kami akan sentiasa kemaskini senarai ini dari semasa ke semasa. Semoga maklumat yang dikongsikan ini berguna untuk anda. Jangan lupa kongsikan artikel ini di laman fb, twitter atau g+ anda sebagai tanda penghargaan. Kami amat menghargainya. Jika ada kekurangan atau anda ingin berkongsi pengalaman percutian di Terengganu, sila tinggalkan komen dibawah. Terima kasih dan selamat bercuti!

Lihat semua tempat menarik disetiap negeri: Tempat Menarik.

Lokasi